
HARRY Kane meledak dua gol ketika Bayern Munich membelasah Union Berlin 7-0, awal pagi tadi, sekali gus menjadi pemain terpantas mencapai 100 gol dalam Bundesliga.
Kane menjaringkan gol ke-100 dan ke-101 dalam hanya 98 perlawanan liga, memecahkan rekod terdahulu milik penyerang Cologne, Dieter Mueller yang dicatat pada tahun 1977 dengan perbezaan 31 perlawanan.
Ia adalah rekod terkini yang dipecahkan kapten England itu sepanjang berada di Munich, selepas sebelum ini menjadi pemain terpantas Bayern mencapai 75, 100 dan 150 gol dalam semua pertandingan.
Dua gol berkenaan menyaksikan Kane kini sudah meledak 156 gol sepanjang 156 perlawanan untuk Bayern dalam aksi domestik dan antarabangsa, satu statistik yang tiada tandingan.
“Saya sangat bangga kerana mencapai 101 gol Bundesliga.
“Dalam tempoh singkat saya berada di sini, saya menikmati setiap saat. Apabila saya bermain bersama pemain seperti Michael (Olise), Luis (Diaz) dan Jamal (Musiala), saya tahu saya akan mendapat peluang.
“Sudah tentu ia satu statistik yang hebat apabila jumlah gol lebih banyak daripada jumlah perlawanan,” kata Kane kepada Sky Germany.
Ketika ditanya mengenai kontraknya bersama Bayern yang akan tamat pada penghujung musim ini dan sama ada dia masih akan bersama kelab itu apabila final Liga Juara-Juara kembali ke Munich pada tahun 2028, Kane berkata: “Saya sangat gembira di sini.
“Perbincangan sedang berlangsung dan ia akan diteruskan dalam masa terdekat. Anda boleh lihat cara saya bermain dan hubungan saya dengan penyokong.
“Munich pada 2028? Mungkin. Ia pasti sesuatu yang istimewa.”
Walaupun Kane mencipta rekod baharu, Michael Olise menjadi tumpuan utama di Munich selepas bintang Perancis itu meledak hatrik ketika berdepan pasukan tercorot Bundesliga yang masih belum mencatat kemenangan, Union Berlin.







