
KUANTAN – Polis meminta penduduk tempatan sekitar Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera tidak menghalang tugas anggota penguat kuasa ketika melaksanakan operasi di kawasan itu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, setakat ini penduduk memberi kerjasama penuh kepada agensi penguatkuasaan yang menjalankan kerja pengukuran semula tapak hutan simpan terbabit.
“Kita minta masyarakat beri kerjasama penuh dan tidak menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.
Pada 15 September lalu, polis menahan lima individu kerana dipercayai menghalang penguat kuasa menjalankan tugas semasa melaksanakan operasi di kawasan berkenaan.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bersama beberapa agensi, antaranya Jabatan Perhutanan, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Pasukan Gerakan Am menjalankan operasi penguatkuasaan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
Ketika operasi, sekumpulan individu didapati mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap sepasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.
Lima yang ditahan termasuk empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.






