
KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung ucapan perwakilan Selangor, Datuk Noorazli Said semasa Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara esok untuk arahan dan nasihat selanjutnya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini sebanyak 86 laporan polis telah diterima dan 93 orang saksi telah dirakam percakapan melibatkan orang awam, pihak penganjur, perwakilan UMNO serta Noorazli.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menyalahgunakan kemudahan mahupun perkhidmatan rangkaian bagi menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Kumar berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat, di samping memupuk budaya komunikasi yang matang serta saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara.
Noorazli mencetuskan kontroversi apabila menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO, minggu lepas.
Beliau memaklumkan pihaknya bersedia memohon maaf sekiranya ucapan beliau semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, termasuk penganut agama Kristian.
Noorazli berkata, kisah dikongsikannya dalam ucapan itu digunakan sebagai analogi bagi menekankan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Katanya, ia sama sekali tidak bermaksud untuk menghina, memperlekeh atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa seorang pembahas pada PAU 2026 memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian.







