
SEMPORNA – Sabah Brotherhood Rider Club (SBRC) meredah kira-kira 527 kilometer dengan menunggang motosikal secara konvoi dari Kota Kinabalu bagi menyemarakkan Hari Malaysia sekali gus menyantuni belia menerusi liga futsal di Semporna.
Presiden SBRC, Saidin Jalaludin berkata, program berkenaan menjadi platform terbaik menggalakkan golongan belia mengisi masa dengan aktiviti sihat selain mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat.
“Pemilihan tarikh 16 September turut memberi nilai tersendiri apabila sukan dijadikan medium menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Selain menguji kemahiran dan kecergasan pemain, pertandingan turut mengetengahkan nilai kerjasama, disiplin dan persahabatan antara pasukan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya, antara pasukan belia yang menyertai liga itu ialah Kampung Tagasan Baru, Kampung Aman Jaya, Kampung Tagasan TLDM, Kampung Baru dan Kampung Kubang Jaya.
Anjuran bersama Jawatankuasa Kampung Tagasan Baru dan Belia Tagasan Baru itu diadakan di Kampung Tagasan Baru, Sorno Marso.
Dalam program sama, SBRC menerusi Ketua Zon Pantai Timur, Warno Saleh turut menyampaikan sumbangan infak rezeki berupa beras kepada semua peserta pertandingan.
Sumbangan beras turut diberikan kepada penduduk kampung, selain wang tunai kepada Persatuan Belia Tagasan Baru.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah dalam Komuniti Daerah Semporna (JKPD), Mejar Biyazid Reduan turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan berharap pertandingan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah boleh menjadi platform memperkasakan belia menerusi aktiviti sukan dan kemasyarkatan,” ujarnya.






