
KUCHING – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak terus mempergiat usaha mendidik para pelajar berhubung keselamatan dan perlindungan diri daripada ancaman jenayah menerusi penganjuran sesi pocket talk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong pada Khamis.
Inisiatif pengisian sempena program Maybank Global CR Day 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri itu bertujuan mendedahkan murid kepada pelbagai taktik eksploitasi, khususnya melibatkan jenayah seksual.
Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM Sarawak, Ernie Marjori berkata, pendedahan awal amat kritikal bagi membantu golongan di bawah umur 18 tahun mengenal pasti situasi berisiko dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.
Menurut beliau, para pelajar perlu peka terhadap pelbagai ancaman jenayah seksual masa kini seperti rogol, amang seksual, sumbang mahram, pornografi, serta ancaman manipulasi minda atau grooming.
“Taktik grooming ini sering bermula dengan usaha pihak dewasa membina hubungan dan meraih kepercayaan mangsa. Mereka akan cuba memenuhi keperluan kanak-kanak seperti memberi hadiah atau wang, sebelum mengasingkan mereka daripada ibu bapa untuk tujuan eksploitasi seksual,” jelasnya ketika menyampaikan taklimat berkenaan.
Dalam pada itu, Ernie turut memberi peringatan bahawa biarpun definisi kanak-kanak merujuk kepada individu di bawah umur 18 tahun, mereka yang telah mencapai usia 10 tahun sudah boleh dipertanggungjawabkan di sisi undang-undang sekiranya didapati melakukan perlakuan jenayah.

Mengulas lanjut mengenai langkah keselamatan asas, beliau menasihati pelajar agar bertindak berani dan tidak berdiam diri sekiranya berdepan sebarang sentuhan fizikal yang tidak wajar.
“Jerit dengan kuat, lari ke kawasan tumpuan orang ramai, dan segera maklumkan kejadian tersebut kepada ibu bapa atau mana-mana individu dewasa yang dipercayai,” tegasnya.
Selain sesi taklimat, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching turut membuka Pameran Perkhidmatan Kanak-Kanak bagi menyalurkan maklumat berhubung perkhidmatan kebajikan serta saluran bantuan kecemasan yang disediakan oleh pihak JKM.

Program libat urus setengah hari tersebut turut diserikan dengan taklimat kesedaran penipuan dan literasi kewangan oleh wakil Maybank, di samping sesi perkongsian maklumat oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).






