
KOTA KINABALU – Penglibatan generasi muda dalam persembahan dan pengisian Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 menjadi antara kelainan yang mencuri perhatian pada penganjuran tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyertaan itu mencerminkan usaha menyemai penghargaan terhadap Hari Malaysia dalam kalangan generasi baharu.
“Penglibatan generasi muda menjadi antara kelainan yang ditampilkan pada tahun ini, sekali gus menunjukkan usaha kita melibatkan mereka dalam menghargai Hari Malaysia.
“Penyertaan mereka juga dapat memupuk semangat kebersamaan sempena sambutan yang cukup bermakna ini,” katanya kepada media selepas sambutan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Menurut Jafry, sambutan yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung dari sekitar Kota Kinabalu itu berlangsung dengan jayanya.
“Alhamdulillah, sambutan ini telah disempurnakan dengan jayanya dan rata-rata pengunjung melahirkan kegembiraan serta berpuas hati dengan persembahan yang disediakan.
“Paling penting, kita dapat meraikan Hari Malaysia dengan semangat dan iltizam untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah serta seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Antara pengisiannya ialah Sambut Tamu ‘Warna-Warni Borneo’ yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Borneo serta upacara penerimaan Jalur Gemilang daripada Konvoi Kembara Merdeka 2026.
Jalur Gemilang kemudian dinaikkan dengan iringan lagu Negaraku oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Persembahan khas Malaysia MADANI bertemakan ‘Kesejahteraan Dinikmati’ selama kira-kira 60 minit turut dipentaskan menerusi gabungan muzik, nyanyian dan tarian berunsurkan budaya Sabah, Sarawak serta Semenanjung.
Persembahan itu dijayakan barisan artis tempatan antaranya Rey Guntabid, Azharina, Eylia dan Mary Grace, Edmound Chain, D. Shariff Zainal, Isobahtos, Marsha Milan serta Datuk Francis Landong.

Sambutan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah membabitkan 50 hadiah dalam lima pusingan, termasuk motosikal Honda BeAT, iPhone 17, iPad Air M4, iPad 11 inci dan Apple Watch Series 11.
Acara berkenaan turut menyaksikan Lafaz Penyempurnaan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 serta upacara memotong kek Hari Malaysia.
Sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun serta barisan Kabinet negeri.






