Seni instalasi jadi medium perkasa mesej kelestarian alam sekitar

KOTA KINABALU – Seni instalasi dilihat mampu memainkan peranan penting dalam membentuk identiti sesebuah bandar, selain menjadi medium berkesan untuk mendekatkan masyarakat dengan mesej berkaitan kelestarian alam sekitar.

Pengerus Installation Art by the Bay KK 2026 (IAKK2026), Profesor Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul berkata, seni instalasi berbeza daripada seni tradisional kerana ia tidak sekadar dipamerkan di dalam bingkai atau di sebalik kaca muzium, sebaliknya hadir secara langsung di ruang awam.

“Seni instalasi boleh ditempatkan di taman, kawasan pesisir pantai dan jalan-jalan, sekali gus mengubah landskap seharian kepada satu pengalaman yang lebih interaktif kepada masyarakat.

“Ia juga memberikan jiwa kepada sesebuah bandar selain mendekatkan pengkarya dengan masyarakat,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Segama Waterfront Boardwalk, pada Rabu.

Menurut Awangku Hassanal Bahar, kehadiran pameran karya seni di ruang awam turut mendorong masyarakat berhenti seketika daripada kesibukan rutin harian untuk melihat, menggunakan deria, berinteraksi dan memulakan perbualan.

“Bandar tanpa seni hanya akan menjadi himpunan konkrit dan infrastruktur, manakala bandar yang kaya dengan seni awam mampu membentuk komuniti yang berfikir, merasa dan bernafas bersama-sama

“Dalam masa yang sama, alam sekitar menjadi fokus penting memandangkan Sabah mempunyai khazanah semula jadi yang luar biasa, termasuk hutan hujan dan perairan pesisir pantai yang masih terpelihara.

“Keistimewaan itu bagaimanapun datang bersama tanggungjawab besar untuk memastikan alam sekitar terus dipelihara dan kelestariannya terjamin untuk generasi akan datang.

“Kelestarian alam sekitar bukan lagi sekadar konsep abstrak yang dibincangkan dalam dokumen dasar; sebaliknya ia merupakan realiti yang dikongsi bersama dan semakin mendesak untuk kita semua,” ujarnya.

Tambahnya, seni juga mempunyai keupayaan unik untuk menterjemahkan isu alam sekitar yang kompleks, termasuk pengurangan sisa, pencemaran plastik dan perubahan iklim, kepada mesej visual yang lebih mudah difahami serta mampu menyentuh masyarakat.

“Penggunaan bahan terbuang dalam menghasilkan karya instalasi juga dapat mengingatkan masyarakat bahawa sesuatu bahan tidak semestinya menjadi sisa sekiranya dilihat melalui sudut kreativiti dan keprihatinan.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua pasukan kreatif yang mengambil bahagian dalam pameran berkenaan, termasuk Upcycle Shack, GBPrime Creation, EcoGeeks, Saara Studio dari Denmark, Deco Bin dan The Mansons.

“Untuk makluman semua, pameran ini turut disertai oleh pasukan dari Singapura, iaitu TaPpestry, sekali gus memperlihatkan penyertaan pengkarya tempatan dan antarabangsa dalam mengetengahkan mesej berkaitan pemeliharaan alam sekitar menerusi seni,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, penglibatan pasukan dari dalam dan luar negara membuktikan bahawa seni tidak mengenal sempadan apabila digunakan sebagai medium untuk membawa mesej mengenai kelestarian planet.

“Saya berharap pengunjung bukan sahaja mendapat inspirasi daripada kreativiti yang dipamerkan, malah terdorong melakukan pilihan kecil dalam kehidupan seharian bagi menyokong usaha mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan lestari,” kongsinya.

Edisi 2026 menampilkan 11 karya seni instalasi kitar semula hasil penggiat seni tempatan, selain dua karya dari luar negara yang dihasilkan oleh artis dari Singapura dan Denmark, sekali gus mengetengahkan pelbagai perspektif mengenai kelestarian dan alam sekitar.

Orang ramai dijemput mengunjungi Segama Waterfront Boardwalk pada 16 hingga 20 September 2026 bagi menyaksikan sendiri karya seni instalasi yang dipamerkan, selain mengenali kisah dan inspirasi di sebalik setiap karya.

Related Posts

Premier Sarawak rakam penghargaan kerajaan MADANI setuju kongsi kuasa bidang pelancongan

KUCHING – Kerajaan MADANI terus mempamerkan komitmen kukuh dalam menyelesaikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila bersetuju untuk menentukan satu formula khusus bagi perkongsian hasil antara kerajaan Persekutuan dengan Sarawak.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KRT Sandakan, Libaran perkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum – Suhaimi

SANDAKAN – Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di daerah ini dan kawasan Libaran memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum. Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

BUDI MADANI: Kerajaan benar pindah kuota diesel maksimum tiga kenderaan segera

BUDI MADANI: Kerajaan benar pindah kuota diesel maksimum tiga kenderaan segera

Pemberian Khas Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PMX

Pemberian Khas Sabah, Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion – PMX

‘Kehilangan ibu ketika berada di penjara hari paling murung buat saya’ – PMX

‘Kehilangan ibu ketika berada di penjara hari paling murung buat saya’ – PMX

Bantuan tiket penerbangan RM500: Inisiatif MADANI ringankan beban lebih 7,000 pelajar baharu IPT

Bantuan tiket penerbangan RM500: Inisiatif MADANI ringankan beban lebih 7,000 pelajar baharu IPT

Isu MA63 bukan tuntutan sepihak, ia ‘Waad Nasional’ – PMX

Isu MA63 bukan tuntutan sepihak, ia ‘Waad Nasional’ – PMX

Premier Sarawak rakam penghargaan kerajaan MADANI setuju kongsi kuasa bidang pelancongan

Premier Sarawak rakam penghargaan kerajaan MADANI setuju kongsi kuasa bidang pelancongan