
KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional menerusi rundingan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah serta Kerajaan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, pendekatan itu diterjemahkan menerusi beberapa perkembangan penting berkaitan MA63 termasuk penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, borneonisasi perjawatan Persekutuan serta Pemberian Khas Sabah.
“Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini sekali lagi menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak untuk mencapai kata sepakat dalam menjunjung perlembagaan persekutuan dengan berasaskan perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Antara perkembangan penting ialah persetujuan secara prinsip berhubung penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira keperluan ‘ratio’ dan representasi perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat,” katanya menerusi Perutusan Hari Malaysia 2026, pada Rabu.
Menurut Mustapha, penambahan itu bukan sekadar melibatkan angka, sebaliknya bagi memastikan suara rakyat Borneo diambil kira dalam keputusan dasar penting negara.
“Perkembangan positif turut dicapai dalam usaha borneonisasi perjawatan Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan Persekutuan terus memberikan perhatian serius terhadap hak Pemberian Khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Pemberian Khas Interim Sabah bagi tahun 2026 telah ditingkatkan kepada RM1.5 bilion, berbanding RM600 juta sebelum ini, dengan baki RM900 juta dilaksanakan pada tahun ini.
“Namun harus diketahui bahawa pelaksanaan mengenai hak 40 peratus Sabah tidak terhenti dengan pembayaran interim tersebut. Malah diteruskan selaras peruntukan perlembagaan,” tegasnya.
Tambah Mustapha, pendekatan Kerajaan MADANI dalam menangani perkara berkaitan MA63 adalah berteraskan rundingan bagi mencapai penyelesaian bersama.
“Inilah pendekatan Malaysia MADANI. Kita memilih rundingan daripada konfrontasi. Kita memilih penyelesaian daripada slogan. MA63 tidak seharusnya menjadi naratif Sabah dan Sarawak semata-mata. MA63 adalah naratif nasional. Itulah makna sebenar sebuah Persekutuan.
“Seiring usaha menjadikan MA63 sebagai naratif nasional, Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) bakal bekerjasama dengan Backbenchers’ Club (BBC) Parlimen Malaysia untuk menggerakkan Friends of BHESS.
“Inisiatif berkenaan akan menjadi wadah memperluas kefahaman mengenai MA63 dalam kalangan Ahli Parlimen dan Senator.
“Hak Sabah dan Sarawak bukan perjuangan wilayah semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama dalam membina Malaysia yang lebih adil, seimbang dan kukuh,” kongsinya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, selepas 63 tahun pembentukan Malaysia, tanggungjawab rakyat bukan sekadar mengenang sejarah 16 September 1963, tetapi memastikan semangat pembentukan negara terus diterjemahkan dalam kehidupan seharian setiap rakyat Malaysia.
“Sambutan Hari Malaysia seharusnya menjadi ruang untuk mengukuhkan perpaduan dan bukannya pentas untuk meruntuhkan kestabilan negara dengan menggesa pembubaran awal tanpa sebab yang munasabah.
“Kita boleh berbeza parti. Kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh mengkritik polisi dan berbahas tentang dasar serta masa depan Negara. Itulah semangat demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.
“Tetapi demokrasi juga menuntut kematangan dan kebijaksanaan berpolitik. Ianya amat mengecewakan apabila kita dalam rangka menyambut Hari Keramat negara ini, ada pihak-pihak yang cuba menggerakkan pembubaran parlimen,” ujarnya.
Pada masa sama, Mustapha menegaskan kebebasan bersuara tidak memberikan lesen kepada sesiapa untuk menghina agama atau memperlekeh kepercayaan sesuatu masyarakat sebagai bahan jenaka di pentas politik.
“Malaysia dibina oleh masyarakat Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan pelbagai kepercayaan yang telah hidup bersama selama beberapa generasi, manakala kepelbagaian agama dan budaya khususnya di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat.
“Kita sekeluarga, makan semeja. Kita bekerja bersama. Kita berjiran. Kita meraikan perayaan satu sama lain dan saling membantu ketika berdepan kesusahan.
“Politik Malaysia mesti bergerak ke hadapan dengan merangkul semua warga negara berdaulat ini. Marilah berpegang dengan prinsip mencari titik-titik persamaan dan menghormati perbezaan diantara kita,” katanya.
Tambahnya, kematangan politik bermaksud setiap pihak mampu mempertahankan pendirian tanpa menghina orang lain, memperjuangkan hak negeri tanpa merosakkan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan, mengkritik kerajaan tanpa meruntuhkan institusi serta bersaing dalam pilihan raya tanpa mempertaruhkan keamanan dan kestabilan negara.
“Hari Malaysia mengingatkan kita negara ini tidak dibina oleh satu wilayah atau satu kaum sahaja, sebaliknya Malaysia dibina dan perlu dipertahankan bersama.
“Daripada Perlis hingga ke Sabah, kita mungkin dipisahkan oleh geografi tetapi kita disatukan oleh sebuah cita-cita yang jauh lebih besar iaitu untuk membina Malaysia yang aman, adil, makmur dan menghormati setiap rakyatnya.
“Marilah kita menjadikan 16 September ini bukan sekadar hari untuk mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi hari untuk memperbaharui janji kita kepada ibu pertiwi,” katanya.





