Gambar hiasan
ROMPIN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mengagihkan 32.6 tan makanan kering ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.
Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad memberitahu Berita Harian, penghantaran membabitkan 42,024 pek makanan kering seberat 32.6 tan itu sudah selesai diagihkan menggunakan tiga bot ke Kampung Salang, Kampung Mukut, Kampung Juara, Kampung Genting dan Kampung Tekek.
Katanya, bekalan itu meliputi beras, gula, minyak masak, garam, kopi, teh uncang, sardin, kari ayam dan biskut campuran bagi keperluan lebih 3,500 penduduk apabila hubungan pulau dengan tanah besar terputus semasa monsun.
“Setiap kali MTL, semua aktiviti di laut tidak boleh dilakukan berikutan laut bergelora.
“Bantuan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) dan mampu bertahan sehingga 10 hari bergantung jumlah ahli keluarga.
“Agihan kepada KIR hanya akan dilakukan apabila keadaan memerlukan,” katanya.



