
KOTA BHARU – Permohonan bagi program Sejati MADANI Usahawan B40 di Kelantan telah mencecah 4,000 permohonan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, susulan itu, Kerajaan MADANI akan meningkatkan peruntukan geran program Sejati MADANI kepada RM200 juta pada 2027.
“Ia bagi membantu lebih ramai usahawan, khususnya golongan B40 dan wanita, mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga.
“Langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkasa penjaja dan peniaga kecil menerusi pelbagai inisiatif sokongan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Kota Bharu pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan penguasaan ilmu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam persaingan global.
“Ilmu dan kepintaran mesti disertai amanah serta budi pekerti. Kita telah menyaksikan skandal besar membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan FELDA yang didalangi mereka yang berilmu dan pintar, namun rendah akal, budi serta nilai diri.
“Akibatnya kekayaan negara digondol dan rakyat terpaksa menanggung kesannya. Kerana itu, kerajaan MADANI menekankan nilai dan tatakelola dalam usaha membangunkan negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menyeru ibu bapa dan guru supaya memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.
Menurutnya, usaha membina generasi berkualiti perlu bermula dari rumah dan diperkukuh melalui sistem pendidikan di sekolah demi menjamin masa depan bangsa dan negara.



