Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

KUCHING – Hari Malaysia perlu dijadikan medan muhasabah nasional untuk menilai sejauh mana negara berjaya membina masyarakat yang matang, berwibawa dan berjiwa besar dalam mendepani cabaran semasa.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui kemajuan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi turut bergantung kepada keutuhan nilai, kematangan rakyat serta kebijaksanaan mengurus kepelbagaian.

Menurutnya, Malaysia kini melangkah dalam era yang menuntut daya fikir baharu susulan perkembangan kecerdasan buatan, ekonomi digital dan perubahan geopolitik yang semakin kompleks.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh sekadar menjadi pengguna kepada perubahan, sebaliknya hendaklah menjadi pencipta kepada masa depan,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Kuching pada 16 September.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadi peneraju pembangunan yang mengimbangi kemajuan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Wan Junaidi turut menyeru rakyat supaya menjadi masyarakat yang celik fakta dan bijaksana dalam menilai maklumat, khususnya dalam era ledakan maklumat.

Katanya, kebebasan bersuara perlu disertai rasa tanggungjawab supaya ruang digital menjadi medan yang menyatukan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat.

“Perbezaan pandangan adalah lumrah dalam sebuah negara demokrasi. Namun, perbezaan tidak seharusnya membawa kepada permusuhan, sebaliknya ia perlu menjadi ruang untuk melahirkan penyelesaian yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata masa depan Sarawak bergantung kepada kemampuan membina institusi yang diyakini rakyat dengan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban terus menjadi asas kepada kepimpinan.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan golongan warga emas, orang kurang upaya, masyarakat luar bandar dan komuniti mudah terjejas tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Katanya, tumpuan terhadap pembangunan luar bandar di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan antara pendekatan bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata penubuhan agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) turut membantu mempercepat pembangunan infrastruktur asas di kawasan pedalaman.

Sementara itu, beliau berkata kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan halangan kepada kemajuan Sarawak.

Beliau berkata penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak membuktikan pendekatan inklusif negeri itu dalam mengurus kepelbagaian agama.

Menurutnya, sebanyak RM685 juta telah disediakan sejak penubuhan UNIFOR pada 2017 bagi membantu pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan rumah ibadat serta sekolah mubaligh.

“Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dalam suasana yang kondusif,” katanya.

Beliau turut menyeru anak muda Sarawak tampil sebagai saintis, jurutera, pencipta pekerjaan, pengasas syarikat teknologi, penyelidik, usahawan sosial dan pemimpin masyarakat.

“Masa depan Sarawak bukan hanya bergantung kepada apa yang diwarisi, tetapi kepada apa yang berjaya dicipta oleh generasi akan datang,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya menjadikan Hari Malaysia bukan sekadar sambutan tahunan, sebaliknya sebagai titik pembaharuan azam untuk membina negara yang lebih adil, progresif dan berperikemanusiaan.

“Marilah kita terus memelihara semangat saling percaya, saling menghormati dan saling mengangkat antara satu sama lain,” ujarnya.

Related Posts

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

TAWAU – Isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tidak boleh hanya bergantung kepada penambahan jumlah penempatan di atas kertas, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

SARIKEI – Penduduk di sekitar Sare bakal menikmati tempoh perjalanan yang lebih singkat ke pusat bandar Sarikei menerusi pembinaan laluan alternatif baharu sepanjang 2.7 kilometer yang menghubungkan Jalan Sare dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

  • By Fatin
  • October 7, 2026
Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun