
MIRI – Lebih 100 peserta menyertai sesi libat urus (Town Hall) bagi membincangkan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas rentas sempadan Miri-Kuala Baram-Kuala Belait (MKBs-SEZ) yang melibatkan sempadan wilayah Sarawak dan Brunei.
Program bertemakan ‘From Vision to Action: Shaping the MKBs-SEZ’ yang berlangsung semalam itu merupakan inisiatif Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri dengan kerjasama badan pemikir bebas, Centre of Regional Strategic Studies (CROSS).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sesi tersebut bertujuan untuk menghidupkan semula wacana mengenai penubuhan zon ekonomi itu serta memastikan penglibatan aktif masyarakat dan pihak pemegang taruh di peringkat akar umbi.
“Kita tidak boleh lagi bergantung secara eksklusif kepada sektor minyak dan gas, perladangan serta limpahan perbelanjaan hujung minggu oleh pengunjung dari Brunei.
“Meskipun pelbagai projek infrastruktur sedang diusahakan, Miri masih memerlukan strategi yang jelas untuk menterjemahkan kemudahan tersebut kepada kemasukan pelaburan, pengembangan perdagangan dan penjanaan peluang pekerjaan baharu,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Chiew memaklumkan bahawa idea MKBs-SEZ yang telah diketengahkannya sejak tahun 2025 kini mempunyai kerangka kerja yang lebih berstruktur. Sesi dialog berkenaan turut menampilkan pembentangan kertas konsep bagi pelan tindakan 2027 hingga 2030 oleh Profesor Ekonomi dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof. Wong Chin Yoong.
Pembentangan itu kemudiannya disusuli dengan sesi panel interaktif bersama wakil Lembaga Pelabuhan Miri (MPA), Koperasi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Miri (KODUBS) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) bagi menilai tahap kebolehlaksanaan perancangan ekonomi rentas sempadan berkenaan.
Meskipun Miri memiliki kelebihan geografi yang amat strategik untuk menembusi rantaian pasaran ASEAN dan antarabangsa, beliau menegaskan bahawa realisasi penubuhan MKBs-SEZ menuntut komitmen politik yang tinggi, persetujuan antara dua buah kerajaan, serta penglibatan menyeluruh daripada pihak swasta dan pakar industri.
Susulan daripada titik permulaan wacana ini, orang ramai yang ingin mengemukakan pandangan dan maklum balas mengenai cadangan penubuhan zon ekonomi khas tersebut diseru untuk menyalurkannya kepada pihak CROSS melalui e-mel inquiry@crossthinktank.com atau menghubungi Pusat Khidmat Parlimen Miri di talian 012-852 0946.





