
KOTA BHARU – Jenazah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dan juruterbang helikopter BO 105S, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang maut dalam nahas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.
Jenazah Dr Ainul Baraah dijangka tiba di Masjid Al-Karamah, Kampung Baung, di sini kira-kira 12 tengah hari untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.
Ahli keluarga berkata, waktu ketibaan jenazah masih tertakluk kepada jadual penerbangan yang ditetapkan pihak berwajib di Sarawak.
Sementara itu, jenazah Zainol Afiq akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan selepas proses pengesahan identiti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.
Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata keputusan ujian DNA dimaklumkan kepadanya semalam dan keluarga kini bersedia menerima kepulangan jenazah anaknya.
“Hari ini (semalam) dimaklumkan keputusan DNA diperoleh. Kalau semuanya selesai, jenazah akan dibawa pulang dan segala persiapan sudah pun dibuat,” katanya.
Beliau berkata, sebaik tiba dari Sarawak, jenazah anaknya akan dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang kira-kira 5.30 petang.
Bee Sham bersama isterinya dan besan sebelum ini berangkat ke Sarawak sejak Rabu lalu bagi menunggu proses pengesahan identiti selepas sampel DNA mereka diambil sebaik tiba di negeri berkenaan.
Gambar: Utusan





