
PENEGASAN Perdana Menteri supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diangkat sebagai sebahagian daripada naratif nasional perlu dilihat sebagai peluang untuk menilai semula kefahaman rakyat terhadap sejarah, asas pembentukan dan makna Malaysia.
Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, wacana kebangsaan masih banyak berlegar daripada sudut pandang Semenanjung, dengan isu MA63, pembangunan dan hubungan Sabah serta Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan sering dianggap sebagai persoalan wilayah.
“Sedangkan sejarah pembentukan Malaysia tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan kepada sebuah negara yang telah sempurna terbentuk,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Malaysia lahir daripada keberanian untuk membentuk sebuah persekutuan yang menghimpunkan masyarakat dengan latar budaya, agama dan sejarah berbeza untuk berkongsi masa depan dalam sebuah negara.
Sehubungan itu, katanya, pengertian MA63 sebagai naratif nasional perlu diperluaskan supaya masyarakat di Semenanjung turut memahami sejarah dan cabaran yang dihadapi rakyat Sabah serta Sarawak.
“Sejarah Sabah dan Sarawak adalah sejarah kita. Kemiskinan di pedalaman Sabah bukan masalah orang Sabah semata-mata, sebagaimana keciciran pendidikan di Sarawak tidak boleh dianggap persoalan yang jauh daripada kehidupan seorang anak muda di Selangor, Kedah atau Kelantan,” katanya.

Menjelang sambutan Hari Malaysia, beliau berkata rakyat juga perlu menilai sejauh mana perjalanan membina negara itu telah disempurnakan, termasuk pelbagai kemajuan dan perkara berkaitan MA63 yang telah diselesaikan atau dikembalikan melalui rundingan.
Bagaimanapun, katanya, pembinaan negara tidak boleh diukur hanya melalui penyelesaian peruntukan Perlembagaan atau pembahagian kuasa, sebaliknya turut memerlukan rasa kepunyaan, kesaksamaan peluang, penghormatan terhadap kepelbagaian dan keyakinan bahawa setiap rakyat mempunyai saham yang sama terhadap masa depan negara.
Beliau berkata, seruan mengangkat MA63 sebagai naratif nasional wajar menjadi permulaan kepada perbincangan lebih besar untuk memperbaharui persefahaman kebangsaan, memperkukuh federalisme dan merapatkan jurang pembangunan.
“Kita memerlukan keberanian untuk memperbaharui persefahaman kebangsaan, memperkukuh federalisme, merapatkan jurang pembangunan dan, yang lebih penting, membina kesedaran bahawa Malaysia tidak mungkin difahami hanya dari Kuala Lumpur,” katanya.
Kamil turut menyeru generasi muda memikirkan ikhtiar yang perlu dilakukan untuk Malaysia bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang, sambil menegaskan amanah generasi hari ini adalah untuk menjadikan negara lebih adil, bersatu dan sempurna sebagai sebuah Malaysia.







