
KERAJAAN Negeri Terengganu wajar diberikan kredit apabila baki hutang awam negeri berjaya dikurangkan dengan ketara. Namun, apabila angka itu digunakan sebagai bukti bahawa hampir RM800 juta hutang berjaya “dilunaskan” semata-mata hasil kecekapan pentadbiran negeri, rakyat berhak diberikan gambaran yang lebih lengkap.
Kerajaan negeri memaklumkan hutang Terengganu yang sekitar RM907 juta pada 2017 kini berbaki RM114.68 juta setakat 31 Mac 2026, pengurangan hampir 87 peratus. Baki semasa terdiri daripada RM102.80 juta bagi projek bekalan air dan RM11.88 juta bagi projek perumahan kos rendah
Angka itu benar,tetapi angka sahaja tidak menceritakan keseluruhan cerita.
Rekod rasmi kerajaan negeri sendiri menunjukkan bayaran hutang turut melibatkan Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP). Malah, kerajaan negeri menyatakan semua tunggakan hutang diselesaikan melalui kaedah kontra Akaun Amanah DKKP pada 2024. Untuk 2026 pula, anuiti matang RM24.27 juta juga dirancang dibayar melalui pemotongan akaun DKKP, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.
Ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab secara terbuka: daripada pengurangan hampir RM800 juta itu, berapa sebenarnya dibayar secara langsung menggunakan sumber negeri, dan berapa pula diselesaikan melalui mekanisme DKKP atau kaedah lain?
Persoalan ini penting kerana ungkapan “kerajaan negeri berjaya membayar hampir RM800 juta hutang” boleh memberi gambaran kepada orang ramai bahawa keseluruhan jumlah tersebut datang daripada hasil dan kecekapan fiskal pentadbiran semasa. Sedangkan mekanisme pembayaran sebenar lebih kompleks.
Rekod Ketua Audit Negara juga memberikan konteks penting. Pada 2022, hutang awam Terengganu memang menurun kepada RM252.63 juta, tetapi pada masa sama tunggakan bayaran balik hutang meningkat kepada RM68 juta, berbanding RM52.46 juta pada 2021. Audit ketika itu turut mengesyorkan kerajaan negeri memperkukuh prestasi kewangan, mencari sumber hasil baharu dan memastikan pendapatan mampu menampung perbelanjaan mengurus, pembangunan serta tanggungan semasa.
Menjelang 2024, kedudukan bertambah baik. Hutang awam direkodkan RM138.98 juta berbanding RM231.80 juta pada 2023. Penyata kewangan Terengganu bagi 2024 kemudiannya menerima Pendapat Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara,satu pencapaian yang juga harus diakui secara adil.
Namun ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan negeri tidak boleh berhenti pada satu angka hutang.
Jika hutang semakin rendah dan kedudukan kewangan semakin kukuh, persoalan berikutnya ialah: sejauh mana kekuatan fiskal itu diterjemahkan kepada peningkatan bekalan air, perumahan, jalan raya, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat?
Hutang rendah memang satu pencapaian. Tetapi hutang rendah bukan sijil automatik bahawa semua aspek pengurusan kerajaan telah berjaya.
Kerajaan Terengganu mempunyai peluang untuk menjadikan isu ini contoh ketelusan fiskal. Bentangkan pecahan penuh RM907 juta tersebut, jumlah pokok, faedah, pembayaran daripada hasil negeri, jumlah melalui DKKP, pelarasan atau kontra, serta pinjaman baharu sepanjang tempoh berkenaan.
Rakyat tidak perlu dinafikan pencapaian kerajaan negeri. Rakyat cuma berhak mengetahui cerita penuh di sebalik angka RM800 juta itu. Kerana dalam soal kewangan awam, soalan paling penting bukan sekadar “berapa banyak hutang sudah berkurang?”
Tetapi juga: “Bagaimana ia dibayar, daripada sumber mana, dan apakah manfaat akhirnya kepada rakyat Terengganu?”








