
KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan rasa amat sedih dan dukacita atas tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang berlaku berhampiran STOLport Long Lellang, Sarawak.
Insiden nahas tersebut telah membabitkan lima mangsa yang merangkumi seorang juruterbang berserta empat orang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mereka sedang melaksanakan amanah, berkhidmat di kawasan yang mencabar, meredah jarak dan keadaan demi memastikan rakyat di pedalaman tidak dilupakan,” katanya.
Empat petugas kesihatan yang terkorban itu dilaporkan terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua orang jururawat.
Fadillah turut mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan ketabahan dalam menghadapi detik yang amat mencabar ini.



