KUALA LUMPUR – Individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan mahkamah, tegas Pakatan Harapan (PH).
Majlis Setiausaha PH berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta perjuangan gabungan berkenaan dalam memperkukuh reformasi institusi, tatakelola baik dan menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“PH sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, terutama yang melibatkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, PH memberi dokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa serta menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkenaan disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
PH berkata, proses kehakiman yang sedang berjalan pula perlu diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan persepsi bahawa proses berkenaan telah didahului pertimbangan lain.
“Ini penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Maka, sebarang keputusan dalam kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut,” katanya.
Menurut PH, beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut memberi kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Katanya, negara sudah berusaha keras dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa.
“Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” katanya.
PH turut menegaskan gabungan itu akan terus menjunjung Perlembagaan dan menghormati institusi negara, selain mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah.







