Dakwaan Abdul Hadi AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan perlu dibongkar pihak berkuasa

KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam itu bagi menjatuhkan kerajaan Malaysia adalah tuduhan serius dan tidak wajar dipandang ringan berikutan memberi implikasi besar terhadap kedaulatan negara serta ketenteraman awam.

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur), Shahbudin Embun berkata, tuduhan itu juga akan memberikan impak negatif terhadap keselamatan dalam negeri dan sistem demokrasi berparlimen Malaysia sekiranya benar wujud tawaran, perbincangan, perancangan atau usaha daripada mana-mana kuasa asing untuk membantu menjatuhkan kerajaan

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, pihaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi agar siasatan rasmi dapat dilaksanakan pihak berkuasa bagi menentukan kesahihan, konteks sebenar dan apa yang telah berlaku dalam pertemuan tersebut.

“Kami memohon agar pihak polis menyiasat, antara lain sama ada benar pertemuan antara wakil Pas dengan pihak Kedutaan AS seperti yang didakwa, siapakah yang hadir dalam pertemuan tersebut dan apakah tujuan rasmi pertemuan, sama ada terdapat sebarang tawaran, bantuan, dana, perancangan atau bentuk sokongan daripada mana-mana pihak asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

“Apakah bentuk bantuan yang dimaksudkan (Pas) sekiranya tawaran itu benar-benar dibuat, adakah terdapat mana-mana individu atau organisasi lain yang teribat dan menyiasat sama ada apa-apa kesalahan berlaku di bawah undang-undang berkaitan dengan keselamatan negara, ketenteraman awam, campur tangan asing atau apa-apa peruntukan undang-undang lain yang difirkan sesuai oleh pihak penyiasat,” katanya ketika ditemui media di hadapan IPD Dang Wangi, pada Isnin.

Dalam pada itu, Shahbudin berkata, laporan yang dibuat bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik, tetapi kerana kedaulatan dan keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama yang harus diperjuangkan oleh pihaknya.

Beliau menegaskan, sebarang dakwaan mengenai kuasa asing cuba mempengaruhi atau membantu menjatuhkan kerajaan Malaysia perlu ditentukan berdasarkan fakta serta bukti, bukannya dibiarkan menjadi sekadar polemik politik.

“Saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat unsur kesalahan.

“Kami berpandangan kes ini disiasat di bawah Seksyen 124B meliputi penyebaran laporan atau kenyataan palsu yang berkemungkinan menyebabkan kegemparan awam dan boleh membawa hukuman sehingga lima tahun penjara, selain dipercayai menjejaskan demokrasi berparlimen, percubaan bersubahat dengan kuasa asing,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mendedahkan bahawa seorang wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon yang dicadangkan parti itu sebagai Perdana Menteri.

Abdul Hadi mendakwa pertemuan berkenaan berlaku ketika Pas masih menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat, sekitar waktu lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.

Beliau membuat dakwaan berkenaan ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kota Bharu, semalam.

Abdul Hadi turut mendakwa Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum itu diberitahu oleh Duta AS bahawa kerajaan boleh dijatuhkan, dengan AS bersedia memberikan bantuan.

Bagaimanapun, katanya, Takiyuddin dan Samsuri tetap dengan pendirian mereka dan tidak terpengaruh dengan tawaran berkenaan.

Menurut Abdul Hadi, dalam pertemuan susulan dengan duta berkenaan, nama Tun Dr Mahathir Mohamad pula disebut sebagai calon berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri dan cadangan itu mendapat persetujuan.

Takiyuddin ketika ditemui pemberita selepas muktamar mengesahkan pernah mengadakan pertemuan dengan wakil kedutaan, namun berkata perbincangan tidak lebih daripada persoalan sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), yang tidak dijawab oleh Pas.

Beliau menegaskan Pas tidak pernah mendapatkan campur tangan asing dalam politik negara dan keputusan sedemikian adalah hak parti lain, bukan pihaknya.

Kedutaan AS sebelum ini turut menegaskan bahawa hubungan diplomatiknya dengan Malaysia terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Related Posts

Malaysia perlu lahir lebih ramai bakat STEM, kuasai teknologi sendiri – Anwar

SHAH ALAM – Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi yang dibangunkan negara lain, sebaliknya perlu berusaha mencipta, memiliki dan menguasai teknologi sendiri bagi memastikan daya saing negara terus kukuh.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang jerebu – Fadhlina

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan terus memantau keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memastikan kesihatan serta keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan. Menterinya, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia perlu lahir lebih ramai bakat STEM, kuasai teknologi sendiri – Anwar

Malaysia perlu lahir lebih ramai bakat STEM, kuasai teknologi sendiri – Anwar

Dakwaan Abdul Hadi AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan perlu dibongkar pihak berkuasa

Dakwaan Abdul Hadi AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan perlu dibongkar pihak berkuasa

Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang jerebu – Fadhlina

Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang jerebu – Fadhlina

Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia semak status penerbangan di Jakarta

Wisma Putra nasihat rakyat Malaysia semak status penerbangan di Jakarta

PM Anwar mahu bakat STEM tidak sekadar dikenal pasti, perlu dibimbing

PM Anwar mahu bakat STEM tidak sekadar dikenal pasti, perlu dibimbing

Bekalan bahan api stabil, harga minyak global dijangka kekal tinggi

Bekalan bahan api stabil, harga minyak global dijangka kekal tinggi