LUMUT – Isu berhubung peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak dilihat akan memberi kesan terhadap hubungan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara itu perlu dilihat secara berasingan daripada soal kerjasama politik antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Katanya, PH dan BN sebelum ini sudah melalui pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan dengan pendekatan serta laluan politik yang berbeza.
“Tidak berbangkit tentang soal menjejaskan kita dalam pilihan raya yang bukan PRN Melaka saja, (kerana) di Johor dan Negeri Sembilan pun sebelum ini kita memang mengambil jalur berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penutupan Majlis Adat Istiadat Khatam Keris Peringkat Kebangsaan, Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGMK) di tapak perkhemahan Teluk Batik, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua PSSGM Kebangsaan, Mohamed Faid Musa, EXCO Perak, Mohd Azlan Helmi dan Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, isu perbezaan pandangan antara KKDW dan Kementerian Kewangan (MoF) perlu diselesaikan menerusi perbincangan antara kedua-dua kementerian.
Beliau berkata, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya perkara itu dibincangkan secara baik bagi mencari jalan penyelesaian wajar diberi perhatian.
Sebelum ini, KKDW yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan MoF bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Isu berkenaan timbul susulan gesaan Ahmad Zahid supaya Kementerian Kewangan mempercepatkan penyaluran dana, dengan alasan kelewatan bayaran menjejaskan kontraktor yang sudah menyiapkan projek.
Malah, beliau dilaporkan berkata terdapat kontraktor yang berdepan masalah aliran tunai sehingga terpaksa menggulung tikar.





