
EKONOMI wakaf berpotensi menjadi sumber pembiayaan kebajikan jangka panjang negara dalam era kecerdasan buatan (AI), dengan sebahagian lebihan kekayaan yang dijana teknologi itu disalurkan kepada dana wakaf untuk dilaburkan secara berterusan.
Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pendekatan itu membolehkan kekayaan yang terhasil daripada peningkatan produktiviti AI ditukar kepada modal sosial yang dapat menjana pulangan untuk membiayai keperluan masyarakat.
Beliau berkata, perkembangan AI dijangka meningkatkan produktiviti, kapasiti pengeluaran dan keuntungan firma, namun pada masa sama berisiko melebarkan jurang ketidaksamaan sekiranya manfaat kekayaan hanya tertumpu kepada pemilik modal.
Katanya, ekonomi wakaf boleh menjadi mekanisme untuk memastikan sebahagian daripada lebihan ekonomi itu kembali memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan peranan pasaran bebas sebagai pemacu pertumbuhan.
“Wakaf bukan sekadar dana bantuan, sebaliknya boleh menjadi mekanisme perkongsian kekayaan yang diinstitusikan.
“Harta atau dana wakaf tidak dibelanjakan sehingga habis, tetapi dikekalkan sebagai endowmen produktif, dilaburkan dan hasilnya digunakan untuk membiayai kesejahteraan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Jumaat.
Barjoyai berkata, konsep itu boleh diperkukuh menerusi mekanisme ‘Productivity Dividend’ atau sumbangan lebihan keuntungan, iaitu sebahagian daripada lebihan ekonomi luar biasa yang terhasil susulan peningkatan produktiviti AI disalurkan kepada dana wakaf nasional.
Menurutnya, mekanisme itu perlu membezakan antara pulangan normal dengan pulangan luar biasa bagi memastikan syarikat terus mempunyai insentif untuk melabur dalam inovasi dan teknologi.
“Jika AI menyebabkan produktiviti meningkat dengan luar biasa dan keuntungan firma meningkat melebihi kadar normal, sebahagian daripada lebihan ekonomi itu boleh dikongsi dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, dana yang dikumpulkan menerusi mekanisme itu boleh membentuk endowmen wakaf nasional sebelum dilaburkan dalam aset produktif, termasuk infrastruktur, tenaga, pusat data, telekomunikasi, sukuk, ekuiti, hartanah dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, pulangan daripada pelaburan berkenaan kemudiannya boleh digunakan untuk membiayai keperluan asas masyarakat seperti pendidikan, kesihatan, penjagaan kanak-kanak dan warga emas, perumahan serta latihan semula pekerja.
“Ini mengubah sumber pembiayaan daripada kebajikan berasaskan cukai kepada kebajikan yang disokong aset,” katanya.
Barjoyai berkata, perbezaan utama ekonomi wakaf dengan sistem subsidi biasa ialah modal asal tidak perlu dihabiskan untuk membiayai keperluan rakyat.

Sebaliknya, katanya, modal wakaf dikekalkan dan terus dilaburkan, manakala hasil pelaburan digunakan bagi tujuan kebajikan.
Beliau turut melihat ekonomi wakaf sebagai berpotensi menjadi satu lagi kunci kira-kira negara, selain kewangan kerajaan, menerusi pembentukan modal endowmen yang mampu menjana pulangan secara berterusan.
“Jika endowmen bernilai RM100 bilion memperoleh pulangan bersih purata lima peratus, ia boleh menjana RM5 bilion setahun tanpa menghabiskan modal asal.
“Jika endowmen itu berkembang kepada RM500 bilion, pulangan pada kadar sama boleh mencapai RM25 bilion setahun,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, ekonomi wakaf tidak seharusnya dilihat hanya sebagai mekanisme membantu golongan miskin, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai institusi ekonomi yang menyediakan kemudahan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.
Menurutnya, antara bidang yang boleh dibiayai termasuk pendidikan, kesihatan, perumahan, penjagaan kanak-kanak dan warga emas serta bantuan sosial.
Beliau berkata, pendekatan itu juga semakin relevan apabila Malaysia berdepan perubahan demografi dan peningkatan jumlah warga emas yang bakal meningkatkan keperluan terhadap pembiayaan kesihatan serta penjagaan sosial.
Katanya, AI pula berpotensi meningkatkan produktiviti ketika jumlah tenaga kerja relatif berkurangan, sekali gus membolehkan ekonomi terus berkembang walaupun berlaku perubahan struktur tenaga buruh.
“AI boleh menjadi mesin menghasilkan kekayaan, manakala wakaf menjadi mekanisme untuk menukar sebahagian daripada kekayaan itu kepada modal sosial berkekalan,” katanya.
Barjoyai menegaskan, model ekonomi berkenaan tidak bertujuan menggantikan ekonomi pasaran, sebaliknya melengkapkannya dengan memastikan sebahagian lebihan kekayaan yang terhasil daripada aktiviti ekonomi dapat dikekalkan untuk manfaat masyarakat dalam jangka panjang.
“Pasaran bebas menjadi enjin kepada ekonomi wakaf. Semakin produktif ekonomi pertama, semakin besar kemampuan ekonomi kedua, dengan syarat mekanisme ‘Productivity Dividend’ itu direka dengan baik,” katanya.






