BANGI – Pindaan Akta Tabung Haji (TH) kini berada di peringkat akhir dengan kira-kira 90 peratus proses berkenaan sudah diselesaikan.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya sudah mengusahakan pindaan berkenaan secara fokus selama setahun, namun beberapa perkara teknikal masih perlu dimuktamadkan sebelum ia dibawa ke peringkat seterusnya.
Menurut beliau, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah aspek kawal selia TH, khususnya membabitkan pelaburan bagi memastikan keselamatan deposit pendeposit terus terjamin.
“Bahagian kita daripada dalaman, yang bermakna daripada Tabung Haji, secara asasnya kami telah mengusahakannya secara fokus selama satu tahun penuh.
“Tetapi pada peringkat akhir, iaitu untuk membolehkan Tabung Haji dikawal selia, perkara itu mengambil masa kerana ia memerlukan penglibatan dengan semua badan kawal selia yang kami teliti, sama ada Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Hotel Tenera, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, jawatankuasa petugas yang dipengerusikannya bagi pihak TH sudah memutuskan supaya aspek berkaitan pelaburan TH dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, perincian teknikal termasuk skop kawal selia dan kaedah pelaksanaannya masih perlu dimuktamadkan bersama pihak berkaitan.
“Bahagian pelaburan yang bakal diasingkan atau dikenal pasti itulah bahagian yang perlu mempunyai pengawal selia kewangan yang wajar bagi memastikan piawaian keselamatan tertinggi untuk para pendeposit terjamin.
“Kami perlu bekerjasama dengan mereka untuk bersetuju dengan jenis proses yang perlu kita masukkan ke dalam pindaan Akta yang sedang kami usahakan,” katanya.
Mengulas tempoh pindaan itu dapat dimuktamadkan, Abdul Rashid berkata proses pembentukan akta perlu melalui beberapa peringkat, termasuk pembentangan kepada Menteri sebelum dibawa ke Kabinet.
Menurut beliau, selepas mendapat persetujuan Kabinet, pindaan berkenaan perlu melalui semakan akhir Pejabat Peguam Negara.
“Secara asasnya, proses pembentukan sesebuah Akta bukan mudah di negara ini. Ia perlu dibentangkan kepada Menteri, kemudian Menteri perlu membawanya ke Kabinet.
“Selepas itu, Kabinet perlu bersetuju dan kemudian ia perlu melalui proses di Pejabat Peguam Negara untuk semakan akhir. Itulah prosesnya dan kami akan melalui proses tersebut,” katanya.




