
TAWAU – Empat kawasan di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 11 pagi susulan keadaan jerebu yang melanda sejak beberapa hari ini.
Berdasarkan laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, Kota Kinabalu mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 171 diikuti Kimanis (161) , Keningau (158) dan Tawau (140).
Sementara itu, satu daerah iaitu Sandakan merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu 93.
Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menerusi Facebook rasmi turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap kesan jerebu terhadap Kesihatan.
“Pendedahan kepada jerebu boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti mata pedih atau berair, hidung berair dan kerap bersin, tekak terasa gatal, batuk, kulit terasa gatal, sakit kepala atau pening serta sukar bernafas atau sesak nafas.
“Mereka yang mengalami gejala berpanjangan atau bertambah teruk hendaklah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.
Justeru, orang ramai disaran mengurangkan atau menghentikan aktiviti di luar bangunan ketika keadaan berjerebu bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada udara yang tercemar.






