PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 dengan tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membuka tirai di Dataran Putrajaya pagi ini dengan pelbagai acara menarik bagi menyemarakkan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap negara.
Tinjauan di sekitar Dataran Putrajaya mendapati ada dalam kalangan pengunjung yang sanggup memasang khemah dan bermalam di kaki lima berhampiran lokasi sambutan semata-mata untuk menyaksikan sendiri kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan.
Semangat dan kesungguhan orang ramai itu jelas menunjukkan keterujaan mereka untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah berkenaan, selain menyaksikan pelbagai acara yang disediakan sempena sambutan tahun ini.
Keadaan sekitar Dataran Putrajaya pagi ini turut meriah dengan kehadiran orang ramai yang terus memenuhi kawasan berkenaan, sekali gus menjadikan suasana sambutan Hari Kebangsaan tahun ini semakin terasa menjelang acara utama.
Seawal jam 3.30 pagi, para peserta sudah mula memenuhi Dataran Putrajaya bagi membuat persiapan terakhir sebelum menyajikan persembahan menarik penuh warna-warni, manakala orang ramai pula mula memenuhi tempat duduk penonton sejak tengah malam lagi.
Sambutan itu yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung menyajikan pelbagai persembahan bagi menyemarakkan semangat patriotik, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung di Dataran Putrajaya, malah mereka yang menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen.
Sambutan itu turut diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri.

Sambutan dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni yang menggambarkan aspirasi Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.
Acara perarakan dan perbarisan melibatkan seramai 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, selain menampilkan 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.
Antara tumpuan ialah penampilan sulung pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan aset maritim Bot Kelas Ibrahim rekaan Yang di-Pertuan Agong, mengiring perbarisan kontinjen Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 memperlihatkan pengisian perbarisan dan perarakan terdiri daripada komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam, keselamatan negara, persembahan udara dan persembahan khas.
Persembahan Rentak MADANI Paluan Tradisi yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), melibatkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2026 memperlihatkan pengisian perbarisan dan perarakan terdiri daripada komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam, keselamatan negara, persembahan udara dan persembahan khas.
Persembahan Rentak MADANI Paluan Tradisi yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), melibatkan pelbagai agensi, institusi pendidikan serta penggiat seni tanah air pula menjadi penutup acara berprestij berkenaan.




