JALUR GEMILANG bukan kain buruk, bukan corak baju dan bukan aksesori untuk bergambar.
Malah bukan lambang yang boleh digunakan sesuka hati tanpa mengambil kira spesifikasinya.
Sebab itu apabila pakaian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang bercorak Jalur Gemilang menjadi pertikaian kerana reka bentuk bintang pada pakaian tersebut dipersoalkan.
Tindakan Sanusi memakai baju itu boleh menjadi kesalahan kerana boleh didakwa Akta Lambang dan Nama 1963. Hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Kini tiba masanya rakyat berhak bertanya di mana pejuang Jalur Gemilang?
Di mana suara lantang yang sebelum ini begitu garang mempertahankan bendera negara?
Di mana demo?
Di mana bantahan?
Di mana laungan mempertahankan maruah Jalur Gemilang?
Atau semuanya hanya keluar apabila yang melakukan kesalahan itu ialah pihak yang tidak sehaluan?
Ini bukan soal Sanusi semata-mata.
Ini soal prinsip.
Kalau betul Jalur Gemilang perlu dipertahankan tanpa mengira siapa, maka pertahankanlah tanpa memilih bulu.
Pulau Pinang, Perak atau Kedah — kalau isu berkaitan Jalur Gemilang, prinsipnya mesti sama.
Jangan satu tempat kita menjadi HARIMAU.
Tempat lain tiba-tiba menjadi KUCING.
Itulah yang menyebabkan netizen mula mempersoalkan konsistensi Datuk Dr Akmal Saleh.
Ketika isu Jalur Gemilang di Pulau Pinang, begitu lantang sekali.
Demo, jerit, bantah dan tekanan.
Tetapi apabila isu melibatkan pemimpin politik tertentu, nada berubah menjadi jauh lebih lembut.
Kenapa?
Penulis ingin bertanya adakah Jalur Gemilang mempunyai dua standard?
Atau adakah keberanian juga bergantung kepada siapa yang sedang berada di hadapan?
Kalau benar perjuangan itu ikhlas, tidak perlu takut kepada sesiapa.
Pemimpin kerajaan pun tegur.
Pemimpin pembangkang pun tegur.
Kawan pun tegur.
Lawan pun tegur.
Itulah namanya PRINSIP.
Kalau hanya berani menyalak kepada pihak yang kita tidak suka, tetapi diam atau berlembut apabila melibatkan pihak yang kita sokong, rakyat boleh menilainya sendiri.
Tidak perlu kita ajar rakyat bagaimana hendak melihat hipokrasi.
Rakyat sudah cukup matang.
Mereka tengok.
Mereka bandingkan.
Mereka ingat dan media sosial pula tidak pernah lupa.
Berhubung isu Sanusi pula, kalau benar penggunaan corak Jalur Gemilang pada pakaian tersebut tidak menepati peraturan atau spesifikasi yang ditetapkan, biarlah pihak berkuasa menyiasat.
Jangan terus menghukum dan jangan juga terus melindungi.
Siasat. Tentukan. Ambil tindakan jika benar ada kesalahan.
Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan apabila melanggar undang-undang berkaitan lambang negara, maka rakyat juga mahu tahu adakah undang-undang hanya tajam ke bawah tetapi tumpul ke atas?
Soalan ini bukan fitnah.
Ini soalan yang wajar dijawab dalam sebuah negara yang mendakwa semua orang sama di sisi undang-undang.
Sanusi sendiri juga perlu belajar satu perkara.
Apabila seseorang pemimpin suka bercakap keras, masyarakat juga akan lebih keras menilai setiap tindakannya.
Semalam beliau mengeluarkan kata-kata yang mencetuskan kontroversi seperti pelaq dan celaka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak sampai seminggu sahaja kata-kata itu telah pulang kepada dirinya sendiri apabila ramai netizen mula memaki hamun kepadanya.
Hari ini pula pakaian yang dipakai menjadi pertikaian.
Begitulah politik.
Mulut kita, orang balas dengan mulut mereka.
Tindakan kita, orang akan menilainya.
Jadi jangan terkejut apabila rakyat bersuara.
Namun kepada Akmal Saleh, mesejnya lebih jelas.
Kalau mahu menjadi pejuang Jalur Gemilang, jadilah pejuang yang KONSISTEN.
Jangan hanya menjadi harimau apabila kamera berada di hadapan.
Jangan hanya mengaum apabila yang berada di hadapan itu musuh politik.
Kalau benar Jalur Gemilang keramat, maka sesiapa sahaja yang didakwa mencemarkannya perlu dilayan dengan ukuran yang sama.
Tidak kira Sanusi.
Tidak kira Anwar.
Tidak kira MCA.
Tidak kira DAP.
Tidak kira Pas.
Tidak kira UMNO.
Bendera Malaysia lebih besar daripada semua parti politik.
Lebih besar daripada semua pemimpin.
Dan lebih besar daripada ego sesiapa pun.
Jadi, Datuk Akmal Saleh…
Rakyat sedang menunggu.
Adakah anda akan turun ke Alor Setar?
Adakah anda akan meminta penjelasan?
Adakah anda akan menyiasat?
Atau cukup sekadar menasihati dari jauh?
Kerana rakyat mahu melihat satu perkara iaitu adakah harimau itu masih mengaum?
Atau apabila sampai di Alor Setar…
harimau sudah bertukar menjadi kucing?
Akhirnya, jangan sampai perjuangan yang kononnya mahu mempertahankan Jalur Gemilang bertukar menjadi bahan ketawa rakyat.
Jalur Gemilang bukan milik Pas. Bukan milik PH. Bukan milik BN.
Bukan milik PN.
Bukan milik kerajaan.
Bukan milik pembangkang.
Jalur Gemilang milik kita semua.
Dan sesiapa yang benar-benar menghormatinya harus berani mempertahankannya dengan satu ukuran yang sama.
Kalau salah, salah.
Kalau betul, betul.
Jangan kerana kawan, kita diam.
Jangan kerana lawan, kita mengaum.
Kerana kalau keberanian hanya muncul apabila mudah untuk mengaum…
itu bukan keberanian. Itu cuma lakonan.





