KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak berasa malu ‘diheret’ ke mahkamah atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM1.1 juta.
Meskipun terkejut dengan pertuduhan yang dikenakan, beliau yakin tidak bersalah berikutan fakta sebenar akan didedahkan ketika prosiding berlangsung.
Timbalan Presiden MIC itu menyifatkan tuduhan yang diterimanya merupakan pendakwaan ‘liar’ serta bermotif politik dan kerana itu, beliau bertekad membersihkan namanya daripada pertuduhan terbabit.
“Saya langsung tidak rasa malu dengan tuduhan ini, rakyat akan tahu nanti macam mana anda tuduh saya dengan maklumat-maklumat palsu,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah RM1.097 juta bagi kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut mendakwa, pertuduhan berkenaan bukan cara untuk menjatuhkannya sebagai ahli politik.
Beliau sebaliknya mencabar pihak-pihak untuk mengemukakan calon terbaik untuk bertanding dengannya di kawasan itu pada pilihan raya akan datang.
“Ini bukan cara kalau nak jatuhkan saya, jangan gunakan taktik macam ini untuk jatuhkan seorang ahli politik,” katanya.
Dalam pada itu nSaravanan mendakwa tidak mengenali atau mempunyai hubungan dengan mana-mana individu yang disebut dalam pertuduhan.
Pemimpin MIC itu turut meminta supaya kelewatan prosiding tidak digunakan sehingga menjejaskan reputasinya kerana beliau mempunyai tanggungjawab terhadap ahli parti.
“Saya tidak mengenali mereka kecuali Syed Amirul, saya tidak mempunyai hubungan dengannya.
“Jangan gunakan taktik melengah-lengahkan prosiding untuk memburukkan nama saya, kalau betul-betul ikhlas mahu mendakwa saya, cepatkan kes ini,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan menafikan pernah meminta bantuan Perdana Menteri untuk melindunginya daripada pertuduhan tersebut.
“Saya bukan meminta perdana menteri untuk melindungi saya, saya meminta perdana menteri membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terlibat.
“Saya tidak meminta beliau membantu saya untuk menyelesaikan perkara ini, saya meminta supaya siasatan diteruskan,” katanya.





