
TAWAU – Pasukan Polis Marin (Marin) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok disyaki tidak bercukai dalam satu serbuan di Jeti Kampung Sri Aman, Batu 3, awal pagi Isnin.
Komandernya, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan pukup 2.20 pagi itu dilakukan hasil maklumat risikan dan pemantauan selepas pasukan mengesan aktiviti mencurigakan yang dipercayai melibatkan penyeludupan rokok dari negara jiran.
“Pemeriksaan menemukan dua bot fiber tidak bernombor yang dipercayai digunakan untuk membawa barangan seludup.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot itu membawa kepada penemuan sejumlah kotak berisi rokok disyaki tidak bercukai.
“Antara barangan yang dirampas ialah 250,000 batang rokok putih jenama Premium International bernilai RM375,000 dan 48,000 batang rokok kretek jenama Menara Dunia bernilai RM86,400,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Turut dirampas dua bot fiber bersama dua enjin bot Yamaha 200 kuasa kuda (HP), menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM601,400.
Walau bagaimanapun, Ahmad Amri berkata, individu yang dipercayai terbabit berjaya melarikan diri dengan terjun ke laut sebaik menyedari kehadiran pasukan penguatkuasa.
“Usaha mengesan suspek tidak dapat diteruskan berikutan keadaan persekitaran yang gelap.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, ” kongsinya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 55 kes di bawah Akta Kastam 1967 direkodkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM7,337,542.61, manakala 39 individu berjaya ditahan.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Marin Wilayah 4 Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan, khususnya di kawasan perairan dan sempadan Pantai Timur Sabah.
“Marin Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan penyeludupan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Tindakan tegas dan berterusan akan dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan sekali gus memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” tegasnya.





