SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu menjelaskan asas tuntutannya supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat isu Tabung Haji.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya benar terdapat kesilapan fakta atau kesimpulan yang tidak tepat dalam laporan RCI terdahulu, perkara itu sewajarnya dibuktikan dengan fakta, dokumen dan keterangan, bukannya sekadar dilabel sebagai “manipulasi”.
“Kalau benar terdapat kesalahan fakta dalam RCI, tunjukkan fakta yang salah. Kalau ada kesimpulan RCI yang tidak tepat, buktikan di Parlimen. Kalau ada pihak yang difitnah, kemukakan dokumen dan bukti.
“Jangan sekadar menggunakan perkataan ‘manipulasi’ tanpa menunjukkan dengan tepat apa yang dimanipulasi,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Mahfuz berkata, tuntutan RCI baharu itu juga menimbulkan persoalan memandangkan Takiyuddin sebelum ini menghadiri program bertemakan ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’.
“Saya setuju, jangan politikkan Tabung Haji. Tetapi jangan juga politikkan RCI dengan memilih hanya bahagian yang sesuai dengan parti,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa ruang di Parlimen tidak digunakan sepenuhnya untuk menjawab dan membahaskan dapatan RCI secara terbuka sekiranya Takiyuddin benar-benar mahu memastikan fakta yang tepat disampaikan kepada rakyat.
“RCI bukan peperiksaan yang boleh diulang sampai dapat markah yang disukai.
“Kalau ada kesilapan, betulkan. Kalau ada fakta baharu, kemukakan. Kalau ada bukti baharu, siasat.
“Tetapi jangan jadikan RCI seperti peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), apabila keputusan tidak memuaskan, minta ulang sampai dapat A,” katanya.
Mahfuz menegaskan, RCI tidak seharusnya dijadikan alat untuk memenangkan mana-mana parti politik, sebaliknya menjadi mekanisme untuk mencari kebenaran berhubung perkara yang mempunyai kepentingan awam.
“RCI bukan alat untuk memenangkan UMNO. Bukan alat untuk memenangkan Pas. Bukan alat untuk memenangkan PH.
“RCI ialah mekanisme mencari kebenaran. Tabung Haji pula bukan milik mana-mana parti. Ia amanah jutaan pendeposit,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata proses RCI berkaitan Tabung Haji bukan semata-mata bermula kerana Kerajaan MADANI mahu mencari musuh politik, sebaliknya proses berkenaan bermula ketika kerajaan terdahulu masih berkuasa.
Beliau berkata, UMNO dan Pas ketika itu merupakan sebahagian daripada kerajaan, justeru tidak wajar isu berkenaan digambarkan seolah-olah RCI itu semata-mata projek politik Pakatan Harapan.
“Kalau RCI itu salah, buktikan salahnya. Kalau RCI itu betul, laksanakan syornya. Kalau ada perkara selepas tempoh RCI yang perlu disiasat, siasat.
“Saya tidak takut kepada RCI kedua. Tetapi saya juga tidak mahu RCI kedua digunakan untuk mengaburkan RCI pertama,” katanya.
Mahfuz berkata, pendeposit Tabung Haji tidak memerlukan proses siasatan yang mengikut selera politik mana-mana pihak, sebaliknya mahukan kebenaran yang tidak tunduk kepada kepentingan parti.
“Jangan minta RCI baharu hanya kerana tidak suka keputusan RCI lama. Kalau ada fakta yang salah, patahkan dengan fakta, bukan dengan RCI baharu.
“Masa RCI perlu dijawab, jawab RCI. Jangan lari daripada persoalan, kemudian minta tukar soalan,” katanya.







