BANGI – Negara bakal menanggung kerugian mencecah RM2.5 bilion sekiranya isu berkaitan pelaburan FELDA dalam Eagle High Plantations TPK (EHP) di Indonesia tidak ditangani sewajarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengutus surat kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi meminta pemimpin negara itu memberi perhatian serius berkenaan isu itu.
Beliau berkata, kes membabitkan EHP antara contoh skandal pelaburan mencatatkan kerugian hingga bilion ringgit yang tidak sepatutnya berlaku lagi.
“Isu yang dibangkitkan membabitkan hotel di London atau Kuching, itu masalah kecil. Isu yang paling besar termasuk pelaburan di Indonesia, Eagle High yang sekarang tersangkut di mahkamah di Indonesia.
“Saya pun sudah menulis surat kepada Presiden Prabowo meminta beliau melihat juga permasalahan ini,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus FELDA 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir dan Pengarah Besar, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman.
Anwar berkata, pendedahan mengenai angka krisis kewangan itu dibuat supaya seluruh barisan pengurus FELDA di peringkat akar umbi menyedari hakikat beratnya cabaran yang terpaksa ditanggung FELDA untuk kembali pulih.
“Kerugian kalau tidak ditangani, (adalah) RM2.5 bilion. Yang mungkin kita perolehi nanti RM200 juta. Ini satu contoh. Saya mahu pengurus tahu masalah ini dan betapa beratnya kita bila salah mengurus,” katanya.
Terdahulu, FELDA masih belum menikmati manfaat secara langsung daripada penjualan saham PT Eagle High Plantation Tbk berikutan mempunyai tanggungan pinjaman dengan sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.




