
ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah semua pihak berhenti mengelirukan masyarakat Orang Asli di Semenanjung dengan istilah tanah adat.
Baginda bertitah, perkara itu jelas termaktub dalam Akta Orang Asli 1954 dan istilah diperuntukkan secara khusus mengikut Akta 134 adalah Kawasan Orang Asli di bawah Seksyen 6 dan ‘Rizab Orang Asli’ di bawah Seksyen 7.
Titahnya, semua pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan istilah tanah adat terhadap setiap kawasan diduduki Orang Asli.
“Jangan kita sewenang-wenangnya menggunakan istilah tanah adat seolah-olah setiap kawasan diduduki, dimasuki atau digunakan secara automatik menjadi hak.
“Kerajaan negeri tidak pernah berniat menafikan hak Orang Asli dan kebajikan mereka dihormati, dipelihara dan dilindungi menurut undang-undang.
“Perlembagaan sendiri membenarkan peruntukan khusus bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli termasuk perizaban tanah tetapi ikut undang-undang,” titah baginda, seperti dilapor Berita Harian.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli 2026 di Kampung Orang Asli Sungai Mok, di sini, hari ini.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebarang tuntutan tidak boleh diterima hanya kerana sesuatu kawasan disebut sebagai tanah adat.
Baginda bertitah status tanah, pewartaan, sempadan, sejarah pendudukan serta fakta di lapangan hendaklah diteliti terlebih dahulu mengikut undang-undang.
“Proses pengukuran, persempadanan dan pewartaan kawasan Orang Asli perlu dipercepatkan dan sempadan jelas penting supaya kawasan diperuntukkan kepada mereka terpelihara.
“Langkah itu juga dapat mengelakkan pertindihan serta peluasan tuntutan tanpa batas,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan, setiap individu, pertubuhan atau pihak berkepentingan tidak mengelirukan Orang Asli dengan memberikan gambaran bahawa setiap kawasan dituntut mereka sebagai tanah adat secara automatik.





