Rakyat mahu hidup lebih baik, tapi politik masih jual ketakutan

Oleh: Datuk Dr Anis Yusal Yusoff

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini sekali lagi memperlihatkan wajah sebenar politik Malaysia.

Di sebalik kemenangan dan kekalahan parti-parti politik, mesej dihantar oleh rakyat sebenarnya jauh lebih mendalam daripada sekadar memilih kerajaan.

Pengundi sedang menghantar isyarat bahawa mereka mahukan kehidupan yang lebih baik, tetapi dalam masa sama mereka masih mengundi berdasarkan rasa takut, kebimbangan terhadap identiti dan persepsi ancaman terhadap komuniti masing-masing.

Inilah paradoks politik Malaysia hari ini.

Di Johor, kemenangan Barisan Nasional (BN) banyak disumbangkan oleh kekuatan organisasi, jentera akar umbi dan mobilisasi pengundi yang lebih berkesan.

Sebahagian pengundi bukan Melayu pula tidak keluar mengundi dalam jumlah yang diharapkan.

Di Negeri Sembilan, kerjasama BN-PN (Perikatan Nasional) terus mengukuhkan sokongan Melayu melalui naratif mempertahankan agama dan bangsa.

Namun, membaca keputusan ini hanya melalui angka adalah satu kesilapan. Apa yang sedang berlaku sebenarnya ialah perubahan psikologi pengundi.

Mereka tidak lagi mengundi semata-mata kerana manifesto atau calon, tetapi kerana siapa yang mampu memberikan keyakinan terhadap masa depan mereka.

Bagi ramai pengundi Melayu, persoalannya ialah sama ada kedudukan politik Melayu, Islam dan peluang ekonomi bumiputera akan terus terpelihara.

Bagi masyarakat Cina pula, kebimbangan mereka lebih tertumpu kepada masa depan sebuah negara yang sederhana, kepelbagaian budaya dan kebebasan beragama.

Masyarakat India pula masih bergelut dengan isu yang jauh lebih asas iaitu kemiskinan, pendidikan, pekerjaan dan mobiliti sosial yang masih belum diberikan perhatian sewajarnya.

Di sinilah pemikiran Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin mengenai kesepaduan sosial dan bangsa idaman menjadi sangat relevan.

Shamsul mengingatkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara memang telah terbentuk, tetapi pembinaan sebuah bangsa yang mempunyai rasa kebersamaan masih merupakan suatu proses yang belum selesai.

Dalam erti kata lain, kita sudah mempunyai negara Malaysia, tetapi pembinaan Bangsa Malaysia masih merupakan suatu ‘work-in-progress’.

belia cari kerja

Ironinya, walaupun kebimbangan setiap komuniti berbeza, keperluan mereka sebenarnya hampir sama.

Semua mahukan kos sara hidup yang lebih rendah, peluang pekerjaan lebih baik, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik, perkhidmatan awam cekap dan sebuah kerajaan berintegriti.

Malangnya, isu-isu inilah yang sering tenggelam apabila pilihan raya bertukar menjadi pertandingan siapa yang lebih berjaya menimbulkan ketakutan.

Politik identiti bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Setiap komuniti mempunyai sejarah, budaya dan aspirasi yang perlu dihormati. Namun politik identiti menjadi berbahaya apabila ia dijadikan senjata untuk meyakinkan rakyat bahawa keselamatan sesuatu kaum hanya boleh dicapai jika kaum lain ditewaskan.

Apabila naratif ini berulang tanpa henti, rakyat akhirnya mengundi bukan kerana yakin kepada dasar, tetapi kerana takut kepada kemungkinan yang belum tentu berlaku.

Lebih membimbangkan, jika pola pengundian di Johor dan Negeri Sembilan dijadikan petunjuk, kecenderungan ini berpotensi berulang di negeri-negeri lain.

Malaysia tidak mampu membiarkan keadaan ini berterusan. Semua parti politik perlu berani melakukan anjakan paradigma.

Persaingan politik mesti beralih daripada mempertahankan sentimen kaum kepada pertandingan menawarkan penyelesaian terbaik kepada masalah rakyat.

Masa depan Malaysia tidak boleh dibina di atas politik yang memecah-belahkan rakyat. Negara memerlukan satu naratif baharu yang berasaskan kepercayaan, keadilan dan tadbir urus baik.

Politik seharusnya menjadi wadah menyelesaikan masalah, bukannya mencipta musuh. Pemimpin pula perlu berhenti menjual ketakutan dan mula menawarkan harapan yang boleh dibuktikan melalui prestasi.

PRN Johor dan Negeri Sembilan seharusnya menjadi titik muhasabah kepada semua pihak. Kemenangan yang diperoleh melalui sentimen mungkin memberikan kuasa untuk lima tahun, tetapi hanya politik yang berteraskan integriti, kompetensi dan kepercayaan mampu menjamin kestabilan negara untuk beberapa dekad akan datang.

* Penulis adalah Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu MINDA-UKM

Related Posts

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Oleh: Jason Yew “KATA mereka PMX anakirikan negeri pembangkang. Hakikatnya…” Sering kali kita dihidangkan dengan satu naratif yang menakutkan: “Kalau tak sehaluan dengan pusat, negeri akan dianaktirikan.” Kata-kata ini diulang-ulang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MCA mahu judi kembali, Pas masih pertahan penyatuan?

Oleh: Aman Muhammad ULASAN | Parti MCA mahu Menteri Besar Kedah keluarkan lessen judi semula. Disiarkan di laman rasmi MCA, kenyataan rasmi yang mendesak Menteri Besar Kedah kembalikan semula lesen…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Program Hasrat MADANI Jerantut tutup tirai di Kuala Tembeling

Program Hasrat MADANI Jerantut tutup tirai di Kuala Tembeling

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Rakyat mahu hidup lebih baik, tapi politik masih jual ketakutan

Rakyat mahu hidup lebih baik, tapi politik masih jual ketakutan

SARA terus jadi keutamaan walau berdepan ketidaktentuan ekonomi – Amir Hamzah

  • By Fatin
  • August 17, 2026
SARA terus jadi keutamaan walau berdepan ketidaktentuan ekonomi – Amir Hamzah

‘Car Boot Sale’ bantu peniaga dan belia berniaga fleksibel, kembalikan nadi bandar

  • By Fandi
  • August 17, 2026
‘Car Boot Sale’ bantu peniaga dan belia berniaga fleksibel, kembalikan nadi bandar

Arsenal angkat Perisai Komuniti, tewaskan City 3-0

Arsenal angkat Perisai Komuniti, tewaskan City 3-0