
PERSOALAN mengenai Tabung Haji bukanlah isu kecil yang boleh dijadikan bahan sorakan politik.
Ia melibatkan amanah dan kepentingan jutaan pendeposit yang selama ini meletakkan kepercayaan kepada institusi tersebut.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji dibentangkan dan penerangan diberikan di Dewan Rakyat, perkara paling wajar dilakukan oleh setiap Ahli Parlimen ialah duduk, dengar, teliti dan kemudian bahas berdasarkan fakta.
Katanya, apa yang berlaku agak berbeza.
Ahli Parlimen Pas dan Wawasan memilih untuk meninggalkan Dewan ketika penerangan mengenai laporan RCI sedang berlangsung.
“Tindakan ini menimbulkan persoalan besar tentang kesungguhan mereka dalam memperjuangkan kepentingan pendeposit Tabung Haji.
“Di luar Dewan, mereka begitu lantang menjerit kononnya aset Tabung Haji dijual dan dilelong. Tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan berkaitan laporan RCI dibentangkan di dalam Dewan, mereka pula bangun dan keluar.
“Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk dan dengarlah. Kalau tidak bersetuju, bahaslah.
Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakan bukti.
“Kalau ada keputusan kerajaan yang dianggap salah, jelaskan mengapa ia salah dan cadangkan jalan penyelesaian,” katanya.
Demikianlah fungsi seorang Ahli Parlimen.
Keluar Dewan ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan bukanlah tanda keberanian.
Sebaliknya, ia menimbulkan persepsi bahawa ada pihak lebih selesa membina naratif di luar daripada berdepan dengan fakta di dalam Dewan.
“Orang yang benar-benar mahu mencari jawapan tidak akan meninggalkan tempat ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan.
“Alasan bahawa Perdana Menteri tidak hadir dalam sesi tersebut juga perlu dilihat secara rasional. Perdana Menteri sedang menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Jika doktor menasihatkan beliau supaya berehat, maka keputusan untuk tidak hadir perlu dihormati atas pertimbangan kesihatan,” katanya.
Menurut Mahfuz, adakah kerana seorang Perdana Menteri sedang menerima rawatan, maka seluruh urusan negara dan penerangan kepada rakyat perlu dihentikan?
Urusan kerajaan mempunyai mekanisme dan struktur pentadbiran. Yang penting ialah proses penerangan, perbahasan dan pertanggungjawaban kepada Parlimen terus berjalan.
“Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor meminta beliau berehat. Tetapi Ahli Parlimen yang keluar Dewan pula atas nasihat doktor mana? Tidak hadir kerana apa? Sakit apa? Atau takut berdepan dengan fakta?
“Jika mahu menggunakan bahasa politik mereka sendiri, mungkin sudah sampai masanya mereka menjalani sedikit “rawatan mental politik” bukan kerana tidak bersetuju dengan kerajaan, tetapi kerana terlalu sukar menerima fakta yang tidak selari dengan skrip politik sendiri,” katanya.
Apa yang paling penting sekarang ialah Laporan RCI Tabung Haji mesti dibaca secara menyeluruh.
Jika laporan mendedahkan kelemahan, kegagalan atau kesilapan terdahulu, kita wajib menerimanya.
“Kita perlu belajar daripada kelemahan tersebut dan memastikan perkara sama tidak berulang.
“Tetapi jika laporan yang sama turut menjelaskan rasional terhadap langkah pemulihan, penstrukturan dan keputusan yang dibuat, bahagian itu juga perlu dibaca dan difahami.
“Jangan pilih fakta daripada laporan RCI seperti memilih lauk di pasar malam, ambil yang sedap kepada selera politik sendiri, tetapi tinggalkan yang pahit kerana tidak sesuai dengan naratif,” ujarnya.
Menurut Mahfuz lagi, laporan RCI bukan menu politik. Ia adalah dokumen yang perlu dibaca dengan fikiran terbuka.
Baca keseluruhan laporan, bukan sekadar memilih muka surat yang boleh dijadikan bahan ceramah.
Tabung Haji juga bukan pentas untuk sesiapa sahaja berlakon menjadi hero.
“Pendeposit tidak memerlukan hero yang hanya pandai menjerit di luar Dewan atau keluar ketika perbahasan berlangsung.
“Pendeposit memerlukan wakil rakyat yang sanggup duduk, mendengar, bertanya soalan yang kritikal, mencabar fakta jika perlu dan mengemukakan cadangan yang lebih baik.
Itulah perjuangan sebenar,” jelasnya.
Menurut bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, isu Tabung Haji sepatutnya menjadi medan untuk kita membezakan antara politik identiti dengan politik berasaskan integriti.
Politik identiti takut kepada soalan. Politik integriti berani duduk mendengar jawapan.
Politik integriti juga berani mengakui apabila ada kelemahan, berani mempertahankan perkara yang benar dan berani mencadangkan pembaikan apabila sesuatu dasar perlu diperbetulkan.
“Kita tidak perlu takut kepada fakta.
Kalau fakta menyebelahi kita, pertahankan.
Kalau fakta menunjukkan kelemahan kita, perbaiki.
“Kalau fakta menunjukkan sesuatu keputusan mempunyai rasional yang munasabah, terangkan kepada rakyat.
Di luar Dewan, mereka melaungkan, “Selamatkan Tabung Haji! Tetapi apabila laporan mengenai Tabung Haji dibentangkan di dalam Dewan, mereka pula yang perlu diselamatkan daripada fakta.
Tabung Haji bukan milik mana-mana parti politik. Tabung Haji adalah amanah yang tidak boleh dipertahankan dengan sorakan, sebaliknya dipertahankan dengan keberanian berdepan fakta.





