
KUALA PILAH: Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim mengumumkan cuti peristiwa esok, 3 Ogos (Isnin), sebagai penghargaan kepada rakyat negeri yang menjayakan proses demokrasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Ismail berkata, pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
“Sebagai menghargai komitmen rakyat dalam menghadapi PRN, saya mengumumkan cuti peristiwa esok,” katanya pada sidang media di Seri Menanti Resort, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, fokus utama kerajaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kesejahteraan rakyat, selain menangani pelbagai isu yang memerlukan perhatian segera dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, pagi tadi.
Beliau, 67, yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, menyempurnakan upacara angkat sumpah itu pada jam 11.29 pagi di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Dalam pada itu, Ismail memberitahu, beliau tidak bercadang menambah bilangan jawatan EXCO dalam pentadbiran kerajaan negeri kecuali mengekalkan 10 jawatan yang diperuntukkan.
Katanya, beliau akan menemui Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan beliau berkaitan senarai pelantikan EXCO.
“Saya akan bawa perkara ini kerana kemungkinan beliau juga ada pandangan tersendiri dan mungkin ada cadangan yang sesuai yang kita pertimbangkan.
“Isu perlantikan EXCO berkenaan akan diselesaikan sebelum akhir minggu ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya akan mengambil kira wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) selepas kedua-dua gabungan BN-PN membentuk persefahaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, berakhir semalam.
Sumber: Buletin TV3





