SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menyakini peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini mampu mencapai antara 70 hingga 75 peratus berdasarkan perkembangan semasa yang mempamerkan sambutan hangat di kalangan pengundi.
Anthony yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri Chennah berkata, jumlah peratusan pengundian yang tinggi memberikan isyarat rakyat berpartisipasi dengan sihat dalam amalan demokrasi.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP turut menyakini jumlah pengundi yang keluar mengundi dijangka terus meningkat sepanjang hari.
“Walaupun ini adalah merupakan PRN, Pilihan Raya Negeri, tapi saya yakin jumlah peratusan kita pada hari ini akan bertambah dan kita harap supaya seperti PRN yang lepas-lepas tidak kurang daripada 70 ke 75 peratus.
“Berdasarkan kepada perkembangan terkini, saya yakin jumlah pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari ini.
“Pilihan raya kali ini adalah sangat penting bagi rakyat Negeri Sembilan untuk masa depan negeri, masa depan rakyat, “ katanya ketika ditemui media selepas membuang undi sekitar 1130 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kelpin, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anthony berkata, proses pengundian setakat ini dari laporan yang beliau perolehi lancar dengan kehadiran pengundi seawal jam 8 pagi menunjukkan peningkatan berbanding peratusan PRN 2022.
Dalam masa sama, beliau menyarankan pengundi datang awal ke pusat-pusat mengundi kerana dijangkakan hujan akan melanda di beberapa kawasan di Negeri Sembilan pada waktu petang ini.

Loke turut menyeru semua pengundi di semua DUN di Negeri Sembilan supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Sudah tentu kita mengharapkan para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Peratusan pengundi ini perlulah mencecah 75 peratus ke atas kerana angka ini penting supaya penglibatan pengundi dalam sistem demokrasi perlulah merangkumi ramai orang.
“Jadi, ini adalah penting untuk sistem demokrasi negara kita dan apa sahaja keputusan yang dibuat ia mesti melambangkan keputusan majoriti pengundi, tapi kita harapkan supaya peratusan mengundi.itu menjadi lebih tinggi,” katanya.







