KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) berjaya memulihkan keseluruhan kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion menerusi Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang dilaksanakan sejak 2018, sekali gus mengembalikan kedudukan kewangan institusi itu ke landasan lebih kukuh dan mampan.
TH dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10 bilion berjaya ditangani melalui Pelan Pemulihan 2018, manakala baki RM2.6 bilion diselesaikan secara berperingkat sehingga penghujung tahun lalu.
Katanya, penjualan aset kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), pada 2018 berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH dan membolehkan institusi itu kembali beroperasi secara mampan.
“TH kekal komited melindungi kepentingan pendeposit, memperkukuh keyakinan masyarakat serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
TH turut menjelaskan bahawa urus niaga penjualan aset kepada UJSB disertakan dengan klausa Hak Keutamaan untuk Menolak (Right of First Refusal) sekiranya syarikat itu bercadang menjual aset berkenaan pada masa hadapan.
Menurutnya, hak tersebut tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan, sebaliknya memberi keutamaan kepada TH untuk membuat pertimbangan berdasarkan nilai komersial dan kesesuaian dengan strategi pelaburan semasa.
Katanya, hasil penilaian itu, TH pada tahun ini membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran RM270 juta, lebih rendah berbanding harga asal penjualannya kepada UJSB sebanyak RM400 juta.
Selain itu, TH turut memperoleh semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada nilai RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.
Mengulas lanjut, TH berkata pelan penstrukturan semula yang diperkenalkan pada 2018 bertujuan menangani defisit kewangan yang ketika itu memerlukan jaminan kewangan kerajaan bagi mengelakkan institusi berkenaan daripada menjadi tidak solven.
Menurutnya, jurang antara aset dan liabiliti TH meningkat melebihi RM10 bilion pada akhir 2018, menyebabkan institusi itu tidak memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit.
“TH mempunyai empat pilihan bagi melaksanakan pelan pemulihan sebelum akhir 2018 dan memilih untuk menjual aset kurang berdaya saing serta bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang aset dan liabiliti serta memastikan institusi ini terus berdaya maju.
“Tanpa jaminan kerajaan ketika itu, keadaan tersebut berpotensi mencetuskan krisis dalam pasaran kewangan dan menjejaskan kestabilan negara sekiranya TH terpaksa menjual aset pada harga terdesak bagi memenuhi pengeluaran tunai pendeposit,” katanya.
Dalam perkembangan sama, TH memaklumkan prestasi kewangannya terus menunjukkan pemulihan apabila kadar agihan keuntungan meningkat kepada 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 dan 3.5 peratus bagi 2025, berbanding hanya 1.25 peratus pada 2018.
Menurut TH, agihan keuntungan tersebut dibuat selepas mengambil kira rosot nilai aset bermasalah bernilai RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada UJSB pada akhir 2018.
“Kedudukan kewangan TH kini semakin kukuh dan institusi ini telah mula membina semula rizab bagi menjamin kestabilan serta kemampanan pada masa hadapan,” katanya.







