
PUTRAJAYA – Pertumbuhan ekonomi kukuh sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua tahun ini mendekatkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi apabila hanya berada 7.1 peratus di bawah ambang yang ditetapkan Bank Dunia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkembangan itu mencerminkan asas ekonomi negara yang semakin kukuh, namun kerajaan mahu memastikan manfaat pertumbuhan tersebut benar-benar dirasai rakyat menerusi peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan yang lebih baik.
“Malaysia kini hanya 7.1 peratus di bawah ambang negara berpendapatan tinggi. Ini merupakan pencapaian yang menggalakkan, namun mencapai status itu bukan matlamat akhir.
“Yang lebih penting ialah memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi, lebih banyak pekerjaan berkualiti dan kuasa beli rakyat yang semakin kukuh,” katanya ketika melancarkan laporan Tinjauan Ekonomi OECD: Malaysia 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, laporan bebas berasaskan bukti yang diterbitkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) itu akan menjadi rujukan penting dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, di samping mempercepat reformasi struktur ekonomi negara.
Pada 2025, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia meningkat kepada RM57,200 atau kira-kira AS$13,351, berbanding ambang negara berpendapatan tinggi Bank Dunia sebanyak AS$14,375.

Akmal berkata, kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus bagi tahun 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pelaburan swasta, eksport serta pertumbuhan sektor berintensifkan teknologi seperti semikonduktor dan pusat data.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran struktur masih perlu ditangani, termasuk isu ketidakpadanan pekerjaan apabila 35.6 peratus pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja dalam bidang yang tidak setara dengan tahap kelayakan mereka.
Sehubungan itu, kerajaan menerusi RMK13 akan memperkukuh penyelarasan kurikulum dengan keperluan industri serta memperluaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Academy in Industry (AiI) serta program peningkatan kemahiran dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
“Apabila lebih satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi masih bekerja di bawah tahap kemahiran mereka, kejayaan sistem pendidikan tidak boleh diukur berdasarkan bilangan graduan semata-mata,” katanya.
Mengulas kedudukan fiskal negara, beliau berkata defisit fiskal Persekutuan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025, dengan sasaran diturunkan kepada tiga peratus atau lebih rendah menjelang 2030.
Katanya, usaha konsolidasi fiskal akan dilaksanakan menerusi bantuan yang lebih bersasar dan pengurangan ketirisan tanpa menjejaskan kebajikan golongan rentan.
“Konsolidasi fiskal bukan bermaksud mengurangkan sokongan kepada rakyat, sebaliknya memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan lebih berkesan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan infrastruktur,” ujarnya.
Bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan kerajaan, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 menetapkan sasaran mengurangkan beban kawal selia yang tidak perlu sebanyak 25 peratus dalam tempoh tiga tahun.
Melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Kementerian Ekonomi turut akan meneliti proses kelulusan perniagaan berimpak tinggi secara menyeluruh bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap, telus dan berakauntabiliti.
Laporan Tinjauan Ekonomi OECD: Malaysia 2026, yang merupakan Kajian Ekonomi OECD kelima mengenai Malaysia sejak 2016, turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kemahiran, pendidikan dan latihan sebagai pemacu peningkatan produktiviti, pendigitalan serta daya tahan ekonomi negara terhadap perubahan iklim.



