
KUALA LUMPUR – Pas didakwa memilih rakan politik berdasarkan kepentingan mendapatkan kerusi Parlimen, bukannya semata-mata atas dasar perjuangan ketuanan Melayu atau ketuanan Islam.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, corak kerjasama politik Pas sejak beberapa pilihan raya umum lalu menunjukkan parti itu sentiasa membuat pilihan berdasarkan perkiraan politik dan jumlah kerusi yang mampu dimenanginya.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999, Pas memilih untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Nasional dan DAP sehingga berjaya memenangi 27 kerusi Parlimen, jumlah tertinggi yang pernah dicapai parti itu ketika itu.
“Pas pilih kawan dan lawan bukan kerana ketuanan Melayu atau ketuanan Islam. Kerana kerusi.
“PRU10 (1999), Pas pilih berkawan dengan Parti Keadilan Nasional dan DAP. Untung Pas menang 27 kerusi Parlimen. Terbanyak dalam sejarah PAS pada masa itu,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.
Menurut Dr Marzuki, pendekatan sama dapat dilihat pada PRU15 apabila PAS memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, hasil kerjasama itu menyaksikan Pas memenangi 43 kerusi Parlimen, sekali gus mencatat pencapaian terbaik parti berkenaan dalam sejarahnya setakat ini.
“PRU15 Pas pilih berkawan dengan Bersatu Untung Pas menang 43 kerusi Parlimen. Terbanyak dalam sejarah setakat ini.
“Pertama kali dalam sejarah juga kerusi Pas lebih banyak daripada kerusi UMNO. UMNO cuma menang 26 kerusi,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerjasama Pas dan UMNO pada PRU16, Dr Marzuki berkata, keputusan itu juga dilihat mempunyai kaitan dengan perkiraan jumlah kerusi yang boleh dimenangi Pas.
“Untuk PRU16, Pas pilih berkawan dengan UMNO. Mungkin Pas dah congak berapa kerusi dia boleh menang.
“Harap UMNO tak buat u-turn,” katanya.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pendirian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyifatkan perjuangan ketuanan Islam dan Melayu antara Pas dan UMNO sebagai saling melengkapi.






