JELEBU – Isu kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi di perkampungan Orang Asli akan menjadi antara keutamaan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Mohd Umry Abdul Khois sekiranya diberikan mandat.
Beliau berkata, pihaknya bersama jentera menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Lakai dan Kampung Orang Asli Sawah bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi
Menurut beliau, antara aduan utama yang diterima daripada penduduk ialah masalah bekalan elektrik serta liputan telekomunikasi yang masih tidak memuaskan.
“Antara isu yang dibangkitkan adalah penduduk memaklumkan mereka berdepan masalah elektrik dan liputan telefon. Bayangkan jika berlaku kecemasan tetapi mereka tidak dapat menghubungi pihak luar.
“Ini adalah keperluan asas yang perlu diberi perhatian. Kita akan membawa isu ini kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya penyelesaian dapat diusahakan,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sawah, pada Ahad.
Malah, ketika mengunjungi Kampung Orang Asli Ulu Lakai, beliau sendiri mengalami kesukaran mendapatkan liputan telefon, sekali gus menggambarkan kesulitan yang dihadapi penduduk terutama ketika berlaku kecemasan.
“Sekiranya diberi mandat. Saya fokuskan penyelesaian kepada isu infrastruktur dan keperluan akan diutamakan dulu sebelum usahakan pembangunan lebih menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Umry berkata, pihaknya komitmen menjadi jurucakap utama yang membawa suara seluruh lapisan rakyat tempatan selain memperjuangkan tindakan tegas dalam setiap isu tempatan yang dibangkitkan rakyat di Pertang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, isu melibatkan kebajikan rakyat tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu diselesaikan segera demi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan yang setara dengan masyarakat di kawasan lain.
“Sekiranya diberi mandat, beliau turut akan mengutamakan penyelesaian isu infrastruktur dan keperluan asas rakyat sebelum melaksanakan pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Mana yang boleh kita selesaikan, kita akan selesaikan segera. Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
“Apabila keperluan asas rakyat dipenuhi, insya-Allah pembangunan lain akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan. Setiap tangan yang disalam, setiap suara yang didengar, dan setiap doa yang diiringi menjadi amanah untuk kami terus berjuang.
“Insya-Allah, kami akan terus turun padang, mendekati rakyat, dan membawa suara masyarakat DUN Pertang,” katanya.
Pada PRN kali ini, Mohd Umry berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang, Datuk Seri Jalaluddin Alias daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus daripada Bersatu.





