
PORT DICKSON – Kerajaan MADANI akan terus memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia walaupun negara berdepan tekanan fiskal yang besar akibat lonjakan harga petroleum di pasaran antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika banyak negara termasuk negara pengeluar minyak terpaksa menaikkan harga bahan api susulan kenaikan harga minyak mentah daripada sekitar AS$70 kepada AS$90 setong, Malaysia mengambil langkah berbeza dengan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter demi menjaga kebajikan rakyat.
Menurutnya, keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Semua negara tertekan namun berkat negara aman eknomi stabil alhamdulillah ini salah satu negara dunia yang turunkan RON95 ke RM1.99,” ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), pada Jumaat.
“Kalau lihat rantau ASEAN tertekan dengan harga minyak AS$70 kepada AS$90 satu tong melonjak tinggi semua negara dunia naikkan harga minyak terrmasuk negara Arab yang pengeluar minyak.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rakyat perlu memahami konteks sebenar di sebalik langkah kerajaan mengekalkan subsidi bahan api kerana kos yang terpaksa ditanggung negara adalah amat besar.
“Di Malaysia minyak turun tapi berapa belanja kerajaan terpaksa ambil sebagai subsidi untuk tampung kalau harganya AS$80 dolar satu tong kerjaan terpaksa bayar tambahan RM40 billion satu tahun.
“Kalau naik macam sekarang dua 3 hari sebab Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ambil keputusan serang Iran lagi bila harga naik AS$90 dolar satu tong kerjaan terpaksa ambil dana tampung bayar agar tidak menekan rakyat dengan naik RM50 bilion satu tahun.
“Tugas kita pertahan, namun konteks harus diketahui kalau tak menjadi mangsa propaganda atau kritikan tanpa fakta sebab itu saya sebut ambil turunkan harga minyak dan diesel yang sekarang ini tercatat antara terendah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mempertahankan pendirian tegas Malaysia terhadap isu Palestin dan serangan ke atas Iran, sambil menegaskan negara ini tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan serta prinsip kemanusiaan.
Menurutnya, Malaysia menjadi antara negara terawal yang mengadakan sidang khas Parlimen bagi mengutuk tindakan ketenteraan terhadap Iran selain terus menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang berlaku di Gaza.
“Ini dasar luar kita kerana Malaysia negara merdeka dan berdaulat, ada kawan-kawan kata Anwar jaga jaga ini AS bukan calang-calang, kita tidak memilih. Trump datang kita sambut. Perdagangan kita nombor satu dengan AS. Kita bukan bermusuh.
“Tetapi bagaimana boleh sebut merdeka berdaulat bermaruah tapi keluarga kita di Gaza Palestin dibunuh, tanah dirampas dan kita diam tiada kekuatan banyak pimpinan negara Islam tak berani suara… beza, Alhamdulillah di Malaysia bukan sahaja pertahan tapi bawa usul di Parlimen agar diluluskan oleh wakil rakyat pertahan maruah negara kita,” katanya.






