SEREMBAN – Malaysia kekal dengan pendirian menyekat kemasukan rakyat Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan yang telah dilaksanakan kerajaan persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hakikat bahawa Malaysia adalah negara merdeka dan berdaulat manakala sekatan berkenaan bukan perkara baharu malah kedudukan itu terbina sejak puluhan tahun dahulu.
Menurut beliau, tindakan rejim Israel yang melakukan penjajahan, kekejaman serta pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin suatu perbuatan yang sehingga kini tidak boleh diterima oleh Malaysia.
“Mereka telah membuat tindakan menyela saya kerana keputusan Malaysia untuk menyekat kemasukan rakyat Israel. Ternyata mereka tidak ikuti langsung perkembangan kerana banyak negara yang melarang dan Malaysia melarang sudah puluhan tahun.
“Mereka boleh buat ugutan tapi saya akan tegas pertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan
dibuat oleh rakyat Malaysia untuk tetap menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban, pada Rabu.
Terdahulu, beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa susulan larangan kemasukan warganegara Israel ke negara ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pendirian Malaysia berasas dan perlu difahami lapan Ahli Kongres AS terbabit, terutama berkaitan kekejaman Israel terhadap Palestin.
“Mereka gunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia, mohon supaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan.
“Mana mungkin wakil rakyat negara mereka boleh memadam kenyataan mengenai pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, kemusnahan rumah, menakluk negeri, dan tidak mampu bercakap apa-apa.
“Malaysia ini negara merdeka, kalau pun mereka yang bercakap itu tidak merdeka, tidak bebas menyuarakan, kita bebas menyuarakan,” katanya.
Ditanya sama ada ia akan menjejaskan hubungan dua hala Malaysia dan AS, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu tidak sepatutnya memberikan kesan.
Beliau menjelaskan pendirian Malaysia bukan ditujukan terhadap masyarakat beragama Yahudi, sebaliknya khusus terhadap warganegara Israel berdasarkan dasar negara berkaitan konflik Palestin.
“AS memang maklum dasar Malaysia ini dah puluhan tahun. Jadi saya tidak fikir dia patut menjejaskan.
“Kita masih menerima baik rakyat, perniagaan dan pelaburan perdagangannya, kita kekal hubungan baik dengan AS seperti mana kita adakan dengan dengan negara lain.
“Mustahil untuk kita sampai ke tahap tidak sanggup dan tidak berani menegur keterlanjuran dari segi pembunuhan rakyat yang tidak bersalah, termasuk di Palestin dan di Gaza,” katanya.




