
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah merancang memperluaskan penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di semua pejabat kerajaan negeri sebagai usaha meringankan beban ibu bapa yang bekerja, selain memastikan akses kepada kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat dan berkualiti.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungli berkata, kementeriannya kini sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan yang diperlukan bagi merealisasikan inisiatif tersebut.
“Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap cabaran yang dihadapi golongan ibu bapa bekerja, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan anak yang memenuhi piawaian keselamatan premis dan berkualiti.
“Kerajaan Negeri prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang mematuhi piawaian keselamatan premis dan berkualiti.
“Sehubungan itu, kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) telah menyediakan sebuah TASKA di bangunan Wisma Wanita yang memberi manfaat kepada ibu bapa dalam kalangan penjawat awam dari jabatan berhampiran,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah yang ingin mengetahui sama ada kerajaan mempunyai inisiatif menyediakan TASKA, di sini pada Selasa.

Menurutnya, selain Wisma Wanita, kemudahan TASKA turut diwujudkan di beberapa premis kerajaan lain termasuk Menara Kinabalu, Bangunan ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kompleks Yayasan Sabah.
“Penyediaan TASKA di lokasi strategik itu bertujuan memudahkan penjawat awam menghantar dan mengambil anak mereka tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh, sekali gus membantu meningkatkan keseimbangan antara tanggungjawab kerja dan keluarga.
“Dalam pada itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut menyediakan perkhidmatan Taska Perpaduan sebagai program asuhan dan didikan awal kanak-kanak,” ujarnya.
Tambahnya, ketika ini terdapat dua Taska Perpaduan yang beroperasi di Sabah, iaitu Taska Perpaduan Nosoob Baru di Penampang dan Taska Perpaduan Goshen di Kota Marudu.
“Penyediaan kemudahan TASKA di premis kerajaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih mesra keluarga, di samping menyokong penyertaan ibu bapa, khususnya wanita, dalam sektor pekerjaan.
“Kerajaan negeri akan terus meneliti keperluan dan kesesuaian pelaksanaan inisiatif tersebut agar lebih ramai penjawat awam dapat menikmati kemudahan penjagaan anak yang berkualiti pada masa akan datang,” jelasnya.



