PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah yang juga penyandang, Datuk Yew Boon Lye mengakui berdepan tugas berat dan sukar dalam mempertahankan kerusi itu berdasarkan landskap politik semasa.
Beliau menjelaskan, saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini sebagai cabaran besar dan perlu berdepan dengan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini, khususnya melihat kepada keputusan PRN Johor sebelum ini.
Menurutnya yang merupakan penyang kerusi itu, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap pilihan raya bermula dengan peluang 50-50 dan tidak pernah menganggap kemenangan majoriti besar dimenanginya pada PRN lalu sebagai tiket mudah untuk mempertahankan kerusi itu.
“Kalau kata selesa, saya rasa PRN pada kali ini dan yang lepas cukup berbeza. Saya rasa kali ini memang mencabar. Satu cabaran yang besar kepada saya terutamanya selepas PRN Johor.
“Kepada diri saya sendiri pun saya menggap setiap kali pertandingan pilihan raya adalah satu cabaran yang besar kepada saya dan saya beranggapan setiap kali pilihan raya dia akan buka dengan 50-50.
“Saya tak pernah rasa selesa. Rekod-rekod yang lama itu tidak boleh dijadikan contoh (kelebihan menang di DUN Chuah),” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Sementara itu, Boon Lye berkata, tempoh penggal lalu yang singkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah menyebabkan masih terdapat beberapa agenda pembangunan yang belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
“Walaupun saya telah selesaikan beberapa perkara major di kawasan Chuah namun sebenarnya banyak lagi perancangan separuh jalan seperti saya nak memastikan jambatan yang menyambungkan sungai pelek ke bukit pelanduk dapat dilaksanakan.
“Projek ini pun difahamkan sudah dalam peringkat tender. Saya harap dan yakin kerja dapat dimulakan pada tahun ini dan juga seperti sedia maklum Chuah ini adalah kawasan luar bandar dan pembangunan ekonomi akan menjadi fokus utama,” katanya.

Mengulas perancangan pembangunan ekonomi di DUN Chuah, beliau berkata, usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan penduduk luar bandar akan terus menjadi fokus sekiranya diberi mandat sekali lagi.
Menurutnya, pelaksanaan agenda pembangunan Negeri Sembilan Vision 2.0 (NSV 2.0), termasuk kerjasama antara Eco World dan NS Corporation menerusi pembangunan Eco Business Park 7, mampu menjadi pemangkin ekonomi baharu di kawasan berkenaan.
“Projek berkeluasan 1,155 ekar tersebut saya lihat sudah tentu miliki potensi dapat membawa banyak pelabur sama ada tempatan atau asing masuk.
“Pada masa sama, pembangunan terbabit dapat menyediakan peluang pekerjaan lebih kepada orang tempatan untuk mempertingkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Boon Lye memastikan PH kekal di kerusi DUN Chuah selepas menang dengan majoriti besar iaitu 6,298 undi dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon PN, Tan Jay Son.
Pada PRN kali ini, Boon Lye sekali lagi diberi amanah sebagai calon PH juga dalam pertembungan satu lawan satu menentang calon BN Pau Jeou Ching.
Berdasarkan rekod semasa, DUN Chuah mempunyai seramai 15,129 pengundi berdaftar dengan pecahan kaum Cina sebanyak 53.4 peratus; Melayu (24.8 peratus) dan India (21.1 peratus)




