Manifesto PH seimbang, utamakan kebajikan M40, B40 – Aminuddin

PORT DICKSON – Manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bukan sahaja memberi perhatian kepada golongan B40, malah turut merangkumi keperluan serta kebajikan kumpulan M40.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peluasan manfaat itu penting supaya lebih ramai rakyat Negeri Sembilan dapat menikmati kesejahteraan dan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.

Sehubungan itu, menurut beliau, PH
berharap pengundi di Negeri Sembilan meneliti manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) gabungan itu yang memberi tumpuan kepada semua lapisan masyarakat.

“Kalau dahulu bantuan lebih tertumpu kepada golongan B40, kali ini kita turut menjaga M40 supaya pemberian yang disediakan lebih bermakna kepada sebahagian besar rakyat Negeri Sembilan.

“Dalam aspek pendidikan misalnya, peluang dan kemudahan akan dibuka dengan lebih luas supaya lebih ramai anak-anak dapat menikmati manfaatnya. Kami berharap pengundi melihat dan mengkaji manifesto PH.

“Yang paling penting ialah rakyat serta apa yang ingin kami sediakan untuk mereka. Jika sebelum ini banyak inisiatif tertumpu kepada golongan B40, kini ia diperluaskan kepada golongan M40 supaya lebih ramai dapat menikmati kesejahteraan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan mesra bersama masyarakat di Ladang Sengkang, pada Selasa.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, tugas utama calon dan jentera sepanjang tempoh berkempen adalah menerangkan manifesto kepada rakyat supaya mereka memahami setiap tawaran yang dikemukakan.

Menurut beliau, PH mempunyai rekod dalam melaksanakan janji kepada rakyat, termasuk manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRN pada 2023.

“Kita bukan hanya bercakap, tetapi telah banyak melaksanakan perkara yang dijanjikan. Tanggungjawab kali ini lebih berat, namun saya yakin ia mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin menyeru semua parti dan calon supaya berkempen secara matang serta mengelakkan fitnah, politik perkauman dan eksploitasi isu agama.

Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya merosakkan hubungan yang telah lama terbina atau menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.

“Kita berkempen dan kita pernah berkawan. Kita pernah bertanding bersama. Kita pernah berjumpa. Dan saya rasa tidak perlu untuk berkempen secara kasar, memfitnah dengan perkara yang bukan bukan.

“Tidak perlulah menggunakan isu agama dan perkauman sehingga menambah keretakan dalam masyarakat yang hidup bersatu padu di Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas lawatannya ke Ladang Sengkang, Aminuddin berkata, beliau menerima beberapa aduan penduduk, khususnya berkaitan keperluan asas dan masalah harian.

Menurutnya, penduduk tidak meminta projek infrastruktur berskala besar, sebaliknya mahu masalah kecil yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka diselesaikan.

“Antara perkara yang dibangkitkan ialah masalah longkang, air memasuki rumah dan bumbung rumah bocor. Walaupun kelihatan kecil, perkara ini adalah keperluan.

“Perjalanan kempen setakat ini berjalan lancar dan saya berhasrat bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan. Momentum kempen sangat baik,” katanya.

Pada Isnin, PH menggariskan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema ‘Kekal Harapan’ bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 dan antara keutamaan ialah menawarkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan bergaji tinggi serta pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Related Posts

PH masih raih undi popular, namun tewas akibat sistem FPTP – Dr Hafidzah

KOTA BHARU – Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan besar rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 apabila merekodkan 40.2 peratus undi popular, namun gagal mempertahankan pentadbiran negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
30 calon PRN Negeri Sembilan hilang wang deposit

KUALA LUMPUR – Sebanyak 30 calon hilang wang deposit selepas gagal memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Bersatu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan