SEREMBAN – Cadangan pembinaan laluan kereta api menghubungkan Senawang ke Port Dickson disifatkan mampu menjadi pemangkin baharu pembangunan ekonomi di selatan Negeri Sembilan selain sebagai usaha memperkukuh jaringan pengangkutan awam dan logistik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini rangkaian rel berkembar utama telah siap namun masih terdapat kekangan dari segi hubungan terus ke kawasan selatan negeri.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah memaklumkan, projek strategik itu akan melengkapkan rangkaian pengangkutan sedia ada sekali gus memperkukuh hubungan antara kawasan perindustrian dengan pelabuhan.
“Cadangan ini akan membolehkan sambungan terus ke kawasan selatan tanpa perlu melalui laluan yang lebih jauh.
“Ia akan memberi manfaat besar kepada sektor perindustrian, logistik dan pembangunan ekonomi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH), pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, projek tersebut juga bakal meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan barang selain membuka lebih banyak peluang pelaburan.
“Kemudahan infrastruktur baharu termasuk pembangunan pelabuhan dan jaringan pengangkutan akan menjadikan Negeri Sembilan lebih kompetitif sebagai hab ekonomi di Pantai Barat.
“Kerajaan negeri optimis pembangunan infrastruktur strategik itu akan membawa limpahan ekonomi kepada rakyat serta mempercepatkan pertumbuhan kawasan selatan negeri,” katanya.





