SEREMBAN – Kerajaan stabil, bersih dan berintegriti menjadi teras utama Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan selepas faktor tersebut sudah terbukti berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan pelabur merupakan aset penting dalam memastikan peluang pekerjaan berkualiti terus diwujudkan.
Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berpendapat, kestabilan pentadbiran sepanjang lapan tahun lalu telah membolehkan Negeri Sembilan merekodkan kemasukan pelaburan baharu sekali gus meningkatkan hasil negeri.
“Kita melihat apabila kerajaan ditadbir dengan
penuh integriti, negeri menerima banyak pelaburan baharu.
“Hasil negeri bertambah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkembang dan peluang pekerjaan turut meningkat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, pada Isnin.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, kerajaan negeri menyasarkan pewujudan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi kemasukan pelaburan baharu.
Aminuddin berkata, beliau turut menerima maklum balas positif daripada pelabur yang berharap pentadbiran sedia ada dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan.
“Mereka melihat kestabilan yang ada sekarang memberi keyakinan kepada pelaburan jangka panjang.
“Itulah antara faktor yang mendorong mereka terus memilih Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan,” katanya.







