
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyokong keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) dan mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa esok.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Penuh Khas MBIP meneliti laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan mengikut proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Penguatkuasaan hanya diambil selepas aduan disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan semua proses perundangan disempurnakan.
“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Network School menjadi perhatian selepas tular dakwaan di media sosial yang mengaitkan operasinya di Forest City dengan agenda Israel untuk bertapak secara senyap di Malaysia melalui pelaburan mata wang digital.
Mengulas perkara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi memastikan sebarang pelanggaran syarat atau undang-undang dapat dikesan dan ditangani dengan segera.
Beliau menegaskan Johor kekal komited menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merancakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri, namun tiada mana-mana pelabur atau organisasi diberikan layanan istimewa sehingga mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.
Menurutnya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura, justeru sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen perlu ditangani secara segera dan tegas.
Pada masa sama, beliau meminta Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyemak semula status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi terbabit sekiranya didapati gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.
Kerajaan negeri juga menggesa semua agensi berkaitan memperketat proses saringan terhadap mana-mana syarikat atau organisasi, termasuk aspek pemilikan, sumber pembiayaan, latar belakang, bentuk operasi dan naratif yang dibawa, selain memperkukuh penyelarasan antara agensi dalam menilai setiap pelaburan antarabangsa dari sudut pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa berkompromi terhadap aspek keselamatan, kedaulatan dan pematuhan undang-undang.
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan yang diambil telah dipersembahkan untuk makluman serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.




