
LIMBANG – Seorang pemilik premis dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Limbang selepas mengaku bersalah menjual produk minuman Jus Tuan Haji 1921 yang disahkan mengandungi Dexamethasone, sejenis racun berjadual yang dilarang kehadirannya dalam makanan dan minuman.
Hukuman itu diputuskan selepas pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 berikutan hasil siasatan Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Limbang terhadap produk berkenaan.
PKB Limbang dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai penjualan produk tersebut di sebuah premis di daerah ini.
“Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan (UKKM), PKB Limbang kemudian menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan sebelum mengesahkan produk terbabit dijual kepada pengguna.
“Susulan pemeriksaan itu, sampel produk diambil mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis,” katanyam
Menurut PKB Limbang, keputusan analisis mengesahkan sampel minuman tersebut mengandungi Dexamethasone.
Susulan penemuan itu, pemilik premis didakwa di Mahkamah Majistret Limbang atas kesalahan menjual makanan yang mengandungi bahan terlarang.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Tertuduh mengaku bersalah dan telah menjelaskan denda yang dikenakan.
Dalam pada itu, PKB Limbang menjelaskan bahawa Dexamethasone ialah ubat daripada kumpulan kortikosteroid yang hanya boleh digunakan di bawah pengawasan pengamal perubatan dan tidak dibenarkan dicampurkan ke dalam makanan atau minuman.
Menurutnya, pengambilan bahan tersebut tanpa kawalan boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan termasuk sindrom Cushing, osteoporosis, gangguan tidur (insomnia), peningkatan paras gula dalam darah, tekanan darah tinggi serta melemahkan sistem imun sehingga meningkatkan risiko jangkitan.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang, Dr Norliza Jusoh berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan hanya produk makanan yang mematuhi undang-undang dan selamat berada di pasaran.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk makanan atau minuman, terutama yang membuat dakwaan kesihatan atau menjanjikan kesan segera tanpa bukti saintifik yang sah.
“Pengguna disaran mendapatkan maklumat daripada sumber yang dipercayai serta membuat semakan terhadap status sesuatu produk sebelum membelinya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, PKB Limbang merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan isu keselamatan makanan.
Katanya, setiap aduan yang diterima akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan Akta Makanan 1983 bagi melindungi kesihatan pengguna serta memastikan makanan yang dipasarkan adalah selamat, bersih dan berkualiti.





