
SELAYANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari, menyantuni tiga keluarga yang berdepan ujian kehidupan sebagai sebahagian usaha memastikan bantuan kebajikan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau berkata setiap kunjungan membuka ruang untuk memahami kesusahan yang dihadapi rakyat, selain mengingatkan bahawa rasa prihatin perlu diterjemahkan melalui tindakan.
Keluarga pertama yang diziarahi ialah pasangan Syukri dan isteri yang tabah membesarkan anak menghidap penyakit buah pinggang kronik.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, keluarga itu tetap menyambut kehadirannya dengan penuh mesra dan menghidangkan laksa sebagai tanda penghargaan.
“Kadang-kadang insan yang memiliki sedikit itulah yang paling banyak memberi,” katanya menerusi Facebook.
Anfaal yang juga EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor itu turut menziarahi Mira dan keluarganya yang sebelum ini mendapat perhatian di media sosial.
Beliau berkata, pertemuan itu memperlihatkan sebuah keluarga yang terus berusaha meneruskan kehidupan dengan penuh ketabahan di sebalik kisah yang tular.
Selain itu, beliau turut mengunjungi seorang mualaf, Mohd Sani yang baru berpindah ke Selayang selepas menerima permohonan bantuan melalui Masjid Al Firdaus.
Menurut Anfaal, walaupun Mohd Sani bukan pengundi di kawasan Taman Templer, perkara itu tidak menghalang pihaknya untuk membantu kerana kebajikan tidak mengenal sempadan kawasan.
Beliau turut meninjau keadaan kediaman, dapur serta bekalan makanan bagi memastikan keperluan asas penerima benar-benar mencukupi.
Anfaal berkata, ketiga-tiga keluarga berkenaan telah menerima bantuan yang sewajarnya dan berharap urusan mereka dipermudahkan serta dikurniakan rezeki yang berkat.
“Semoga kita semua sentiasa memilih untuk menjadi sebahagian daripada jalan penyelesaian, bukan sekadar pemerhati,” katanya.







