DALAM landskap politik Malaysia, perdebatan dan kritikan terhadap parti politik merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat.
Namun, apabila kritikan politik mula dilabel sebagai serangan terhadap agama, sempadan antara agama dan politik menjadi semakin kabur.
Inilah persoalan yang wajar direnungkan apabila Presiden Pas sekali lagi mengaitkan kritikan terhadap partinya dengan istilah “Islamofobia”.
Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, istilah Islamofobia mempunyai makna yang jelas. Ia merujuk kepada kebencian, prasangka atau diskriminasi terhadap agama Islam dan umat Islam.
Oleh itu, menyamakan kritikan terhadap sebuah parti politik dengan kebencian terhadap agama bukan sahaja tidak tepat, malah boleh mengelirukan masyarakat tentang maksud sebenar Islamofobia.
Dalam sistem demokrasi, semua parti politik tanpa pengecualian mesti bersedia menerima penelitian, teguran dan kritikan daripada rakyat.
” Mengkritik dasar, keputusan, strategi atau pendirian Pas adalah sebahagian daripada hak demokratik rakyat.
” Kritikan terhadap Pas tidak boleh secara automatik dianggap sebagai kritikan terhadap Islam.
“Persoalan yang lebih besar ialah siapakah yang sebenarnya membuka ruang kepada persepsi Islamofobia?,” soalnya.
Menurut Mahfuz, apabila sesebuah parti politik menggambarkan dirinya sebagai satu-satunya pembela Islam, apabila setiap kritikan terhadap parti itu dianggap sebagai serangan terhadap agama.
“Namun, pabila mereka yang tidak menyokong parti tersebut dilihat seolah-olah menolak Islam, maka sempadan antara agama dan politik semakin kabur.
“Keadaan ini membawa risiko yang besar. Kemarahan masyarakat terhadap tindakan atau pendirian politik sesebuah parti akhirnya boleh disalah tafsir sebagai kemarahan terhadap Islam itu sendiri.
“Sedangkan yang dipersoalkan ialah keputusan politik, bukannya ajaran agama,” ujarnya.
Islam tidak pernah mengajar bahawa kebenaran mutlak berada di tangan satu parti politik. Islam ialah agama yang dianuti oleh umat Islam daripada pelbagai latar belakang, pandangan dan kecenderungan politik.
” Tiada sebuah parti boleh mendakwa dirinya sebagai pemilik eksklusif Islam.
“Rakyat juga mempunyai memori politik yang panjang. Mereka masih mengingati bagaimana Pas pernah bekerjasama dengan DAP atas alasan maslahah politik.
“Kini pula Pas mengakui membantu Barisan Nasional di Johor serta bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri di Negeri Sembilan,” katanya.
Jelasnya lagi, kerjasama tersebut sendiri menimbulkan persoalan dalam kalangan pemimpin MCA yang mempertikaikan kesesuaiannya dengan prinsip yang diperjuangkan.
Perubahan strategi politik bukanlah sesuatu yang luar biasa. Hampir semua parti politik pernah menyesuaikan pendekatan mengikut perkembangan semasa.
Namun apabila perubahan itu berlaku, penjelasan yang sewajarnya ialah berdasarkan prinsip, fakta dan pertimbangan politik, bukannya dengan melabelkan pengkritik sebagai memusuhi Islam.
Begitu juga dalam isu larangan meminum arak di kawasan awam. Rakyat sedang menilai sama ada Pas akan terus mempertahankan pendiriannya atau memilih pendekatan yang lebih lunak demi mengekalkan hubungan dengan rakan politik baharu.
“Apa jua keputusan yang diambil, rakyat berhak menilai konsistensi pendirian tersebut tanpa dituduh memusuhi agama.
“Budaya politik yang matang menuntut setiap parti menjawab persoalan dengan hujah, bukan dengan tuduhan.
” Apabila rakyat bertanya tentang percanggahan pendirian, jawablah dengan fakta. Apabila rakyat mempersoalkan prinsip, berikan penjelasan berdasarkan prinsip.
“Menjadikan agama sebagai perisai setiap kali berdepan kritikan politik hanya akan menghakis kematangan demokrasi dan akhirnya menjejaskan persepsi masyarakat terhadap agama itu sendiri,” ujarnya.
Islam tidak memerlukan mana-mana parti politik untuk terus dimuliakan.
Kemuliaan Islam bersumber daripada ajaran, nilai dan prinsipnya, bukan daripada kejayaan atau kegagalan sesebuah parti dalam pilihan raya.
Sebaliknya, parti-parti politik yang menggunakan nama Islam mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan tindakan mereka tidak menimbulkan persepsi bahawa agama dijadikan alat mempertahankan kepentingan politik.
Akhirnya, rakyat perlu dibezakan antara agama dengan parti politik.
Menolak Pas bukan bererti menolak Islam. Menyokong Pas juga bukan ukuran tunggal keimanan seseorang.
“Demokrasi memberikan ruang kepada rakyat untuk menilai setiap parti berdasarkan rekod, dasar dan prinsipnya.
“Islam akan terus mulia tanpa bergantung kepada mana-mana parti politik. Sebaliknya, mana-mana parti yang terlalu bergantung kepada simbol dan sentimen agama untuk mempertahankan kedudukannya perlu berhati-hati agar tidak mencampurkan kesucian agama dengan kepentingan politik yang sentiasa berubah mengikut keadaan,” katanya.





