Malaysia ambil langkah awal hadapi tekanan harga minyak dunia akibat ketegangan Selat Hormuz

KUALA LUMPUR – Memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta menambah bantuan kepada rakyat antara langkah diambil Kerajaan MADANI, susulan lonjakan harga minyak global yang dipengaruhi ketegangan geopolitik dan ketidakstabilan di Selat Hormuz.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga minyak mentah Brent kini mencecah sekitar AS$81 setong, manakala kontrak hadapan sekitar AS$84 setong, memberi kesan kepada kos import minyak, gas dan diesel negara.

Menurut beliau, kerajaan komited mengambil langkah awal bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi selain menstabilkan harga untuk rakyat dan sektor perniagaan, walaupun harga minyak semasa masih belum mencapai paras tertinggi seperti krisis terdahulu.

“Strategi pertama ialah kita mesti memikirkan soal perlindungan kepada rakyat, bagaimana dalam keadaan kegawatan ini menstabilkan harga, dan pertama bekalan harus mencukupi serta harga yang agak munasabah.

“Kemudian untuk industri, untuk PKS, bagaimana dana dan bantuan tambahan kepada mereka, dan akhirnya daya tahan ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PN Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) berhubung penilaian kerajaan terhadap kesan krisis berpanjangan di Selat Hormuz terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara serta langkah mengurangkan impaknya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga telah  meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 kepada RM15 bilion berbanding peruntukan asal bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

“Peningkatan itu memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima di seluruh negara termasuk sekitar enam juta penerima dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.

“Selain itu, subsidi petroleum dijangka mencecah RM40 bilion pada 2026 bergantung kepada perubahan harga minyak dunia termasuk harga Brent dan kontrak hadapan,” katanya.

Tambahnya, ketika harga minyak meningkat susulan konflik global, kos subsidi RON95 dan diesel meningkat sehingga RM5 bilion sebulan pada Mac dan April, sebelum turun kepada sekitar RM4 bilion sebulan apabila harga minyak kembali reda sedikit.

“Jumlah subsidi berubah kerana harga Brent dan futures ini juga berubah. Kita hanya boleh umumkan berdasarkan keadaan yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan terus memastikan bekalan tenaga negara tidak bergantung kepada satu sumber sahaja dengan memperluaskan kerjasama bekalan minyak dan gas bersama negara lain.

“Rusia telah memberikan jaminan bekalan diesel dan minyak jangka panjang kepada Malaysia, manakala Petronas turut menerima perkembangan positif berkaitan penerokaan sumber gas baharu.

“Ini satu berita sangat baik untuk Malaysia, terutamanya kepada Petronas kerana menjamin memberikan bekalan gas yang terbesar untuk kita kendalikan,” katanya.

Bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat peningkatan kos operasi, Anwar berkata, kerajaan menyediakan pembiayaan berjumlah RM15 bilion termasuk RM5 bilion khusus untuk usahawan bumiputera.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah mengurangkan kos operasi peniaga kecil termasuk kadar sewaan premis.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengurangkan kos sewaan peniaga kecil sehingga 50 peratus, manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menurunkan kadar sewaan sebanyak 20 peratus bermula April 2026.

“Kita beri contoh awal, DBKL turunkan 50 peratus kos untuk peniaga kecil. Kalau semua PBT dan kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sama, kos untuk peniaga dapat dikurangkan

“Dalam usaha memperkukuh sektor perniagaan, kerajaan turut memberi kelonggaran pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga akhir 2027 serta pengecualian interim duti import bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia sehingga Disember 2026.

“Langkah tersebut merupakan sebahagian strategi kerajaan memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan dalam menghadapi tekanan luaran termasuk gangguan rantaian bekalan akibat ketegangan geopolitik global,” katanya.

Related Posts

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

TINDAKAN Barisan Nasional (BN) meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dilihat mencabar kedudukan Wawasan yang memberi isyarat bahawa kerusi Parlimen turut akan dirampas UMNO pada Pilihan Raya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

ISU moral yang membabitkan tangkapan khalwat ke atas pemimpin parti Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini bakal menjadi beban kepada kesemua 15 calon parti itu yang bertanding di Pilihan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Wakil Astro AWANI Pahang meninggal dunia

Wakil Astro AWANI Pahang meninggal dunia

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

Sailang kerusi DUN Sungai Udang, bukti UMNO pinggirkan Wawasan

Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

Kes Nik Nazmi jadi liabiliti buat 15 calon Bersama di PRN Melaka – Penganalisis

Sejambak Kasih Deepavali santuni 60 individu terima sumbangan RM350 seorang

Sejambak Kasih Deepavali santuni 60 individu terima sumbangan RM350 seorang

PKR tampil tujuh muka baharu, empat calon muda PRN Melaka

PKR tampil tujuh muka baharu, empat calon muda PRN Melaka

Akmal dulu beri AGC dua hari, kini representasi ditolak

Akmal dulu beri AGC dua hari, kini representasi ditolak