
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan program sarapan percuma kepada kira-kira 120,000 pelajar di seluruh negeri bermula Ogos ini sebagai langkah membantu meringankan beban keluarga yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu melibatkan 965 institusi pendidikan yang merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan, sekolah agama kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Menurut beliau, pelajar yang telah dikenal pasti menerusi pangkalan data JPN Selangor akan menerima sarapan percuma dua hingga tiga kali seminggu menggunakan mekanisme yang hampir sama seperti pelaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
“Program ini bukan sekadar menyediakan makanan kepada pelajar, malah menjadi antara usaha kerajaan negeri membantu ibu bapa yang berdepan tekanan kos sara hidup akibat krisis di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan harga barangan.
“Kita mahu memastikan tiada murid memulakan sesi persekolahan dalam keadaan lapar, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif,” katanya.
Amirudin berkata, pelaksanaan program itu juga selari dengan amalan di beberapa negara yang telah membuktikan keberkesanan inisiatif berkenaan dalam meningkatkan kebajikan dan prestasi pelajar.
Beliau berkata, negara seperti Finland dan United Kingdom telah lama melaksanakan program sarapan percuma di sekolah sebagai satu pelaburan terhadap pembangunan modal insan, bukannya satu pembaziran.
Katanya, India turut memperkenalkan program sama pada 2022 yang menyaksikan peningkatan kadar kehadiran ke sekolah serta pengurangan keciciran dalam kalangan pelajar.
“Selangor kini melangkah ke arah yang sama dengan menjadikan sekolah bukan sahaja sebagai tempat menimba ilmu, tetapi juga ruang yang menjamin kesejahteraan setiap kanak-kanak.
“Kerajaan negeri yakin inisiatif ini mampu membantu meningkatkan tumpuan pelajar dalam pembelajaran di samping mengurangkan beban kewangan keluarga yang memerlukan,” katanya.
Bantuan kepada pelajar itu antara peruntukan RM130.42 juta yang disediakan kerajaan negeri menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dalam usaha mendepani krisis global yang berlaku ketika ini.






